Maszlee bentang cadangan dasar pendidikan pascapandemik
Demi membantu sistem pendidikan negara berdepan dengan pascapandemik Covid-19, ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik mengambil inisiatif sendiri menyediakan cadangan dasar-dasar kerajaan.
Pelan itu dinamakakan “Ringkasan Penyata Polisi Pendidikan dan Wabak Covid-19: Solusi Buat Malaysia”.
Menurut bekas menteri pendidikan, satu pelan besar dan perancangan jangka panjang yang strategik untuk pendidikan selepas pandemik berakhir wajar dilaksanakan.
Katanya, perkara itu sejajar dengan titah yang di-Pertuan Agong yang menyebut tentang keperluan pelan pendidikan pascapandemik bersifat holistik dan komprehensif.
“Saya telah meminta berulang kali dari kerajaan Perikatan Nasional dahulu agar dikemukakan pelan seumpamanya.
“Malangnya sehingga hayat 17 bulan kerajaan PN, tiada pelan seumpamanya dikemukakan.
“Saya insaf bahawa sekadar mempersoalkan dan menggesa tidak akan membawa kita ke mana-mana, berdasarkan kesedaran tersebut saya telah cuba untuk mengemukakan satu pernyataan polisi atau pelan cadangan kepada kerajaan yang baru untuk mereka bergerak ke hadapan,” katanya pada sidang media di bilik media di Parlimen hari ini.
Ringkasan penyata polisi tersebut dibahagikan kepada dua bab yang terdiri daripada isu-isu pendidikan yang timbul sewaktu wabak melanda dan syor jalan keluar bagi semua masalah tersebut.
Manakala bab kedua pula merupakan pembentangan pelan pemulihan jangka masa panjang untuk isu pendidikan dengan mengemukakan penyelesaian yang tuntas demi menghadapi dunia Revolusi Industri (IR4.0) dan situasi pasca-Covid-19 yang memerlukan pendekatan luar biasa dan bukan konvensional.
Serah pada menteri
Maszlee berkata ringkasan penyata polisi sebanyak 65 muka surat itu diserahkan kepada Menteri Pendidikan Radzi Jidin dan Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad.
Bagaimanapun menurut Maszlee, dia masih tidak menerima sebarang maklum balas sama ada kedua-dua menteri tersebut berminat untuk mengadakan perbincangan bersama berhubung polisi itu.
“Belum lagi. Pagi tadi saya terserempak dengan YB Noraini. Dia tidak memberi sebarang jemputan (untuk perbincangan pun) lagi.
“Dr Radzi pula, saya masih belum bertemu dengannya lagi hari ini dan saya belum terima sebarang jemputan daripadanya.
“Tapi saya akan sediakan maklumat lebih lanjut kepada mereka dari masa ke semasa,” jawabnya apabila pemberita bertanya adakah kedua-dua menteri itu memberi sebarang maklum balas selepas dia menyerahkan ringkasan penyata polisi itu.
“Saya telah memberi dan menyuarakan kepada dia (Radzi) tentang kerelaan saya untuk bekerjasama dalam menyelamatkan pendidikan negara kita, supaya dapat membantu dan menambahbaik cara mereka (kerajaan) melaksanakan tugasan mereka,” katanya.
Antara perkara yang dinyatakan dalam ringkasan penyata polisi itu merupakan syor cadangan menangani “generasi yang hilang” dalam kalangan kanak-kanak di program perumahan rakyat (PPR) yang tidak mampu mendapatkan capaian internet sewaktu pengajaran dan pembelajaran di rumah (PDPR).
Antara lain turut menyentuh menangani pembelajaran melalui TV pendidikan dengan kaedah yang lebih menarik, di mana cadangan supaya KPM mengemaskini Inisiatif Pembelajaran Pendidikan Digital Malaysia (Delima), untuk dijadikan portal TV pendidikan ala-Netflix untuk kegunaan yang lebih santai mengikut kemudahan para pelajar dan guru.
KPM juga dicadangkan supaya menghasilkan bahan-bahan bimbingan untuk ibu bapa bagaimanakah cara membimbing anak-anak sewaktu PdPR, memandangkan ramai ibu bapa yang tidak tahu bagaimanakah cara untuk membantu anak-anak mereka.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai