Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Wan Junaidi dijangka perjelas kedudukan timbalan speaker petang ini

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dijangka akan  menjelaskan keputusan pemilihan timbalan speaker Dewan Rakyat pada sesi petang persidangan parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan memaklumkan perkara itu dalam ciapan di Twitter sebentar tadi.

"Keputusan tentang pemilihan Timb Speaker #DewanRakyat akan beliau perjelaskan pada sesi 2.30 petang hari ini," katanya.

Dia turut berkongsi gambar bersama Wan Junaidi dan Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming di laman sosial.

Berdasarkan aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat hari ini, usul pertama adalah pemilihan jawatan timbalan speaker yang dikosongkan Azalina Othman Said.

Usul itu dibuat selepas Azalina yang merupakan Ahli Parlimen Pengerang meletakkan jawatan sebagai timbalan speaker pada 23 Ogos lalu.

Sebelum ini dua nama dicalonkan bagi mengisi kekosongan itu iaitu Ahmad Maslan yang merupakan calon dari blok kerajaan dan Nga dari Pakatan Harapan (PH).