Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PAS sambut baik MoU antara PH dan kerajaan

PAS menyambut baik persetujuan dicapai Pakatan Harapan (PH) dengan Putrajaya dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, semalam.

Timbalan presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata inisiatif itu dijayakan dengan berasaskan keutamaan kepada negara dalam situasi kritikal berdepan pandemik Covid-19 dan masalah beban ekonomi rakyat.

Justeru katanya, pemimpin politik mesti meletakkan asas utama itu sebagai keutamaan dalam apa jua keputusan.

"MoU ini adalah sejarah baru politik negara dan PAS sudah melaksanakan Budaya Politik Matang dan Sejahtera sebagai pendekatan baru dalam politik," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Semalam MoU itu ditandatangani antara wakil kerajaan dan PH bangunan Parlimen. 

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, MoU itu sejajar dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya semua pihak membentuk satu kerjasama ‘dwipartisan’ yang ampuh dan mantap.

Memorandum persefahaman itu merangkumi:

• Pemerkasaan pelan Covid-19;

• Transformasi pentadbiran;

• Pembaharuan Parlimen;

• Kebebasan Institusi Kehakiman;

• Perjanjian Malaysia MA63; dan

• Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Tuan Ibrahim yang juga menteri alam sekitar dan air berkata, MoU itu juga ditandatangani bagi meredakan suhu politik negara selepas ia mendatangkan kesan langsung kepada rakyat yang muak dan bosan dengan pertelagahan yang berlaku.

"PAS akan terus berperanan sebagai parti yang meletakkan nilai akhlak dalam perbahasan, dan kemantapan hujah dalam perbahasan," katanya.