Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Najib, anak ke Mahkamah Persekutuan mohon batal keputusan kes tuntutan LHDN

Bekas perdana menteri Najib Razak dan anaknya Mohd Nazifuddin mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung tuntutan saman cukai yang dibuat ke atas mereka.

Pasukan undang-undang yang mewakili bekas perdana menteri dan Nazifuddin mengemukakan permohonan kebenaran untuk merayu ke mahkamah tertinggi melalui sistem e-filing dalam talian malam tadi.

Mereka merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada hari Khamis minggu lalu yang mengekalkan penghakiman ringkas terhadap Najib dan Nazifuddin dalam saman cukai yang masing-masing bernilai RM1.69 bilion dan RM37.6 juta.

Tahun lalu, dua Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang berasingan membenarkan permohonan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk penghakiman ringkas dalam tuntutan cukai.

Akibatnya, ini membolehkan mahkamah rendah memutuskan untuk berpihak kepada LHDN dalam tuntutan cukai terhadap Najib dan Nazifuddin, tanpa memerlukan perbicaraan penuh.

Dengan bergantung kepada keputusan penghakiman ringkas, LHDN sejak itu telah memulakan prosiding muflis terhadap Najib dan Nazifuddin untuk mendapatkan tunggakan cukai.

Bercakap kepada Malaysiakini pagi ini, peguam mereka Muhammad Farhan Muhammad Shafee mengesahkan bahawa mereka mengemukakan permohonan mendapat kebenaran rayuan dalam talian malam tadi.

Di Malaysia, Mahkamah Persekutuan perlu terlebih dahulu menentukan apakah keizinan perlu diberikan kepada perayu untuk dimulakan dengan rayuan ke mahkamah puncak. Sekiranya kebenaran diberikan, tarikh lain akan ditetapkan untuk mendengar merit rayuan.

"Kami memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan malam tadi," kata Farhan.

Peguam itu berkata pasukan peguam sedang menyelesaikan permohonan untuk Mahkamah Rayuan menangguhkan penghakiman ringkas, sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

[Baca laporan asal]