Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kerajaan digesa tarik balik rayuan kes kewarganegaraan anak

Family Frontiers dukacita dengan tindakan kerajaan merayu terhadap keputusan mahkamah yang membenarkan bayi wanita Malaysia dengan suami warga asing diberikan kerakyatan Malaysia secara automatik.

Kumpulan hak asasi itu mendesak kerajaan, termasuk Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Ruslin Jusoh menarik kembali rayuan itu dengan segera.

Family Frontiers mengingatkan sekurang-kurangnya tiga orang menteri menyambut baik keputusan sebelum ini.

"Oleh itu, kami terkejut dengan tindakan kerajaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tersebut, dan kami melihat ini sebagai pengkhianatan terhadap hak kaum wanita Malaysia yang sudah lama tertunda,” katanya.

“Kerajaan mempunyai kesempatan untuk menerima keputusan Mahkamah Tinggi tersebut, dan memastikan hak wanita tidak ditindas dan mereka juga mendapat keadilan dan kesaksamaan yang sepatutnya.

"Sebaliknya, kerajaan memilih untuk mempertahankan status quo terhadap ketidakadilan yang telah mendarah daging semenjak negara kita merdeka, sehingga kini wanita Malaysia menanggung beban ketidakadilan hampir 64 tahun," kata mereka dalam kenyataan.

Pada 9 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bayi yang lahir di luar negara oleh wanita Malaysia dan bapa bukan warga secara automatik berhak mendapat kewarganegaraan Malaysia.

Hakim Akhtar Tahir membenarkan saman yang difailkan Family Frontiers dan enam wanita warga Malaysia pada 18 Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, semalam kerajaan membuat pemfailan di Mahkamah Rayuan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

[Baca berita asal]