Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Semua MP kena jalani ujian RTK dua kali seminggu

PARLIMEN | Semua ahli Parlimen perlu menjalani ujian kit ujian pantas (RTK) secara berkala sepanjang tempoh persidangan Dewan Rakyat kali ini bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19, kata Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun.

Menurut Azhar, ujian tersebut akan dilakukan pada setiap Isnin dan Rabu.

Persidangan Dewan Rakyat pada penggal ini akan bersidang selama 17 hari - dari 14 September hingga 12 Oktober.

Katanya, perkara itu dipersetujui ketika mesyuarat jawatankuasa dewan semalam yang dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Shahidan Kassim (Arau) Dr Hatta Ramli (Lumut) dan Alice Lau (Lanang).

“Ahli-ahli yang berhormat berstatus perintah pemantauan di rumah (HSO) disebabkan kontak rapat dibenarkan pilihan untuk sesi undian dengan memakai PPE.

“Perkara ni pernah dilakukan pada 14 dan 15 Dis lalu dan mengesyorkan agar sistem penggiliran dalam Dewan Rakyat dilakukan setiap satu jam sebagai langkah berjaga-jaga dalam mengekang penularan Covid-19.

“Sehubungan itu, di atas meja ahl-ahli yang berhormat diletakkan surat keperluan menjalani ujian RTK saliva secara berkala sepanjang tempoh persidangan mesyuarat pertama ini,” katanya.

Ujian pertama tersebut akan mula diadakan pada esok yang memerlukan tempoh 20 minit.

Pada masa sama, pegawai-pegawai di Parlimen turut perlu menjalani ujian tersebut.

Pada 10 Ogos lalu, Kementerian Kesihatan memaklumkan satu kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan yang mempunyai kaitan dengan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang berlangsung dari 26 hingga 29 Julai lepas di bangunan Parlimen. 

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes itu melibatkan seorang pegawai tinggi kerajaan yang mempunyai sejarah hadir ke Parlimen dari 26 hingga 29 Julai, dengan ujian saringan pra Dewan Rakyat pada 23 Julai dan ujian saringan melalui air liur (RTK-Ag) pada 29 Julai adalah negatif.