Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Undi18 gesa enam negeri pinda perlembagaan

Persatuan Pengundi Muda (Undi18) menggesa enam negeri meminda perlembagaan negeri masing-masing bagi membolehkan anak muda berumur 18 hingga 20 tahun bertanding dalam pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mereka meminta enam negeri terbabit iaitu Kedah, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor meminda perlembagaan negeri bagi menguatkuasakan Seksyen 4 Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019.

"Undi18 menghargai usaha kerajaan negeri Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak dan baru-baru ini, Pulau Pinang, kerana berpegang teguh dengan semangat Perlembagaan Persekutuan yang telah dipamerkan melalui pindaan Perlembagaan Negeri masing-masing untuk menurunkan had umur bagi ahli DUN seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 4.

"Kami menyeru kerajaan negeri Kedah, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor untuk turut menyokong dan memberi komitmen bagi meminda Perlembagaan Negeri masing-masing (Undang-undang Tubuh Negeri) untuk membenarkan anak muda berumur 18 hingga 20 tahun bertanding dalam pilihan raya DUN," kata Undi18 dalam kenyataan semalam.

RUU Undi18, atau dikenali sebagai Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan sebulat suara di parlimen pada Julai 2019.

Ia terdiri daripada tiga bahagian, termasuk Seksyen 3 (a) yang merujuk kepada penurunan umur minimum bagi pengundi dalam pilihan raya persekutuan dan negeri dari 21 tahun hingga 18 tahun, Seksyen 3 (b) yang merujuk kepada pendaftaran pemilih automatik dan Seksyen 4 yang merujuk kepada penurunan had umur untuk menjadi  Adun dari 21 tahun hingga 18 tahun.

"Pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan untuk Seksyen 4 mestilah dipatuhi Perlembagaan Negeri kerana ia merupakan undang-undang tertinggi tanah air.

"Kami percaya bahawa penurunan had umur untuk menjadi ahli DUN memberi mesej yang kuat bahawa kerajaan negeri sentiasa mendorong para belia untuk bergiat lebih aktif dalam mewakili masyarakat mereka," kata Undi18.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kabinet bersetuju dengan tujuh pembaharuan institusi termasuk pelaksanaan penurunan had umur mengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun.

Mahkamah Tinggi Kuching juga baru-baru ini mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar melaksanakan Undi18 bermula pada 31 Disember.

Ini selepas mahkamah membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh lima anak muda Sarawak bagi meminta kerajaan pusat melaksanakan Undi18.

Pada 7 September, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata belum ada arahan untuk membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching itu.

Pelaksanaan Undi18 dijangka menyaksikan sejumlah 1.9 juta individu berusia antara 18 dan 21 tahun didaftarkan sebagai pemilih baru di samping 4.4 juta individu yang layak berumur di atas 21 yang belum didaftarkan.