Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Dakwaan ingkar kuarantin: Polis selesai rakam keterangan Lim

Polis telah merekodkan keterangan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng bagi membantu siasatan berhubung dakwaan ingkar arahan kuarantin kendiri dengan menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada 2 Sept lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan itu telah diambil keterangan pada 10 Sept lepas, iaitu selepas beliau selesai menjalani kuarantin kendiri.

“Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk melengkapkan kertas siasatan di bawah Kertas Enkuiri Polis (KEP),” katanya ketika dihubungi di George Town hari ini.

Terdahulu siasatan kes itu diklasifikasikan sebagai kertas enkuiri polis dan polis telah menerima tiga laporan berhubung isu berkenaan setakat ini di mana tiga individu telah direkod keterangan berhubung perkara tersebut.

Pada 8 Sept, jurucakap Pemuda Gerakan Pulau Pinang Mohd Aswaad Jaafaf membuat laporan polis terhadap Lim yang didakwa mengingkari peraturan kuarantin kendiri selepas peguam Lim, Gobind Singh Deo yang mewakili bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dalam perbicaraan kes empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama, memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa anak guamnya itu telah diarah menjalani perintah kuarantin kendiri selama 10 hari bermula 1 hingga 10 Sept.

Bagaimanapun, Lim telah menafikan dakwaan bahawa beliau telah melanggar syarat kuarantin kendiri dan berkata beliau hanya dimaklumkan pada 2 Sept berhubung perkara itu selepas menghadiri persidangan DUN.

- Bernama