Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Persatuan UIama nasihat rakyat cermat kritik isu kuota solat di masjid

Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mengingatkan semua pihak agar berhati-hati semasa menyatakan pandangan mahupun kritikan berhubung hal ehwal Islam di negara ini khususnya isu kuota yang diperuntukkan untuk kalangan orang kenamaan (VIP) di jabatan kerajaan bagi solat Jumaat.

Setiausaha agungnya, Mohd Roslan Mohd Nor, berkata ini kerana setiap kritikan yang dilemparkan terhadap kerajaan berhubung perkara tersebut ibarat mengkritik keputusan yang dibuat Yang di-Pertuan Agong selaku ketua agama Islam dan raja-raja Melayu yang menjadi ketua di setiap negeri.

"Saya bimbang apabila kita mengkiritik prosedur operasi standard (SOP) itu kerana kita kena jaga juga hubungan dengan pihak istana," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Tambah Mohd Roslan dalam hal ehwal Islam di negara ini ia bukan terletak kepada keputusan kerajaan sebaliknya bergantung kepada kebijaksanaan Agong atau sultan sesebuah negeri selaku ketua agama.

Sebarang cadangan atau maklumat yang dipersembahkan kepada tuanku, katanya, jika ia tidak diperkenankan maka ia perlu terima.

Di sesetengah negeri katanya masih ada larangan jumlah jemaah yang dibenarkan ke masjid kerana faktor tertentu yang dipertimbangkan pihak istana.

"Jadi, kita tidak boleh mengkritik sewenang-wenangnya. Kita (mungkin) nampak seolah-olah mengkiritik kerajaan tetapi sebenarnya dalam soal agama ini apabila kita mengkritik perkara-perkara (hal ehwal agama) tersebut ianya terarah kepada istana.

"Sebab itu kita kena berhati-hati dalam bab ini. Saya fikir dari sudut pemilihan perkataan untuk menunjukkan bahawa rakyat tak puas hati itu pun kita kena semak kembali," katanya.

Rakyat amat rindu hadirkan diri

Mohd Roslan berkata demikian mengulas rasa tidak puas hati orang ramai terhadap isu tular membabitkan VIP dan orang awam yang mahu menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra di Putrajaya pada minggu lalu.

Berdasarkan kepada penjelasan Imam Besar Masjid Putra, Ikmal Zaidi Hashim, pihaknya memang memperuntukkan kuota khusus untuk VIP termasuk pegawai kerajaan berpangkat pengarah dan ke atas - sebanyak 10 peratus - setiap kali sembahyang Jumaat.

Bagaimanapun untuk rekod, rasa tidak puas hati itu bukan sekadar melibatkan jumlah jemaah yang dibenarkan hadir tetapi turut melibatkan masa seseorang itu tiba di masjid serta kebenaran yang diberikan untuk VIP terbabit.

Mohd Roslan oleh kerana urusan Islam tertakluk kepada Agong dan raja-raja Melayu, rakyat mestilah memahami pihak istana begitu prihatin soal keselamatan dan kesihatan rakyat.

Gambar fail

"Sebarang cadangan untuk menambah baik SOP sedia ada perlu dibuat dengan cermat supaya kita menghormati institusi istana yang menjadi ketua agama dan pada masa sama kita memberikan pandangan yang sesuai daripada masyarakat," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua PUM, Abdul Halim Abdul Kadir, dalam kenyataan lain menyambut baik cadangan agar SOP untuk solat di masjid dan surau di seluruh negara disemak semula terutama membabitkan kehadiran jemaah.

Abdul Halim berkata, semakan semula itu perlu selaras dengan perkembangan semasa peralihan fasa yang diumumkan pihak kerajaan berasaskan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Rakyat amat merindui kesempatan untuk hadir solat di masjid dan surau yang ada.

"Kejadian yang tular pada hari Jumaat kelmarin menunjukkan betapa ada rakyat yang sanggup menunggu untuk melaksanakan kewajipan solat di masjid,” katanya.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmadm memberitahu kerajaan sedia mengkaji semula had kapasiti jemaah yang dibenarkan hadir di masjid dan surau.