Jangan jadikan Warisan pak turut PH, kata Azis Jamman
Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak bersama Pakatan Harapan (PH) dalam menjayakan perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) atau disebut juga sebagai memorandum persefahaman (MoU) transformasi dan kestabilan politik dengan kerajaan kerana tidak dilibatkan dari awal.
Sebaliknya, kata Ketua Wira Warisan, Mohd Azis Jamman, partinya hanya dijemput pada peringkat akhir selepas PH dan kerajaan sudah berunding dan mencapai persetujuan untuk menandatangani MoU itu.
"Dari awal sepatutnya blok pembangkang yang ada 105 kerusi parlimen dipanggil, kita perlu duduk berbincang sebelum jumpa perdana menteri lagi. Kena ada keikhlasan.
"Ini tidak, selepas beberapa kali bermesyuarat (dengan wakil kerajaan), baru kita dipanggil dan diberitahu nak buat MoU.
"Jangan jadikan kita pak turut, Presiden Warisan bukannya 'rubber stamp'," katanya yang dipetik portal Berita Harian Online, hari ini.
Menurutnya, perlu ada keikhlasan dalam kalangan blok pembangkang berhubung MoU berkenaan dan tidak sepatutnya Warisan diminta mengikut apa sahaja keputusan PH.
Azis yang juga ahli parlimen Sepanggar mengulas kenyataan pemimpin PH yang menafikan mereka mengketepikan parti pembangkang lain dalam proses rundingan dengan kerajaan berhubung perjanjian CSA itu.
Dia berkata pembabitan Warisan daripada awal adalah mustahak supaya selera penduduk wilayah Sabah diambil kira.
Katanya, jika ada komunikasi dua hala, pastinya parti dari Sabah itu akan memberi penekanan kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai antara kandungan CSA berkenaan.
"Kalau Warisan dibawa dalam rundingan dari awal, kita akan tekankan berkenaan MA63. Selera orang Sabah dan Sarawak perlu didengari dalam blok pembangkang.
"Kami pun tidak tahu apa kandungan MoU itu, jam 5 petang nanti baru tahu. Saya dengar ada persamaan dengan tawaran yang dibuat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.
"Kalau kami tidak tahu kandungannya, bagaimana Warisan nak tandatangan," katanya lagi kepada portal itu.
CSA atau MoU berkenaan akan ditandatangani oleh Perdana Menteri Ismail sabri Yaakob bersama ketua parti PH di bangunan parlimen pada jam 5 petang ini.
Sebelum ini, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke menafikan dakwaan Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan, Khairuddin Abu Hassan, kononnya PH mengetepikan parti-parti pembangkang lain dalam rundingan bersama kerajaan itu.
Loke dilaporkan berkata satu taklimat khas berkenaan kandungan MoU telah disampaikan oleh pimpinan tertinggi PH kepada Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir, petang semalam.
Katanya, wakil Warisan juga dijemput untuk taklimat itu namun mereka tidak hadir.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai