Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Aktiviti penerimaan, pemunggahan kargo boleh beroperasi 24 jam, kata Wee

Aktiviti penerimaan dan pemunggahan kargo barangan tidak penting atau ‘non-essential’ bagi tujuan import dan eksport kini dibenarkan beroperasi seperti biasa 24 jam sehari 7 hari seminggu berkuatkuasa serta-merta, kata Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.

Menurutnya, tindakan itu bagi memudahkan pergerakan semua barangan di seluruh negara dan memudahkan syarikat logistik serta pengangkutan menjalankan perniagaan.

“Keputusan ini dibuat berikutan permohonan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengelakkan kesesakan di gudang, lapangan kontena dan sekitarnya serta memastikan pergerakan barangan berjalan lancar ketika pertumbuhan ekonomi semakin meningkat.

“Sebelum ini, aktiviti penerimaan dan pemunggahan kargo barangan ‘non-essential’ di premis hanya dibenarkan pada setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat dari jam 8:00 pagi hingga 8:00 malam,” kata Wee dalam satu hantaran di Facebook, semalam.

Bagaamanpun, katanya, semua operator perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh MKN.

Selain itu, syarikat-syarikat yang terlibat juga perlu mengemukakan permohonan melalui sistem Covid-19 lntelligent Management System (CIMS) 3.0 Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan lndustri (MlTl) atau mendapat kelulusan MOT untuk beroperasi;

Kapasiti pekerja yang dibenarkan pula adalah berdasarkan peratusan pekerja yang telah lengkap menerima vaksin.

“Sekiranya 40 peratus pekerja lengkap menerima vaksin, kapasiti pekerja yang dibenarkan beroperasi adalah sebanyak 60 peratus. Jika 60 peratus pekerja lengkap menerima vaksin, kapasiti pekerja yang dibenarkan adalah sebanyak 80 peratus.

“Manakala kapasiti pekerja dibenarkan beroperasi 100 peratus sekiranya 80 peratus pekerja lengkap menerima vaksin, “ kata Wee.

Syarikat juga diminta untuk mematuhi protokol Kementerian Kesihatan dan melaksanakan norma baru seperti pemeriksaan suhu badan, mengimbas MySejahtera, penjarakan fizikal, penyediaan ‘hand sanitiser’ dan pemakaian pelitup muka.

Dia juga mengingatkan bahawa pekerja yang bergejala, sedang dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), ‘Person Under Surveillance’ (PUS) dan sedang dalam Perintah Kuarantin adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Wee berkata sebarang ketidakpatuhan SOP boleh diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan syarikat-syarikat yang terlibat perlu sentiasa merujuk kepada SOP terkini melalui laman web https://www.mkn.gov.my/.