PH jangan terburu-buru terima CSA, kata Ramasamy
Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy mengingatkan PH agar tidak terburu-buru dalam memeterai perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) dengan kerajaan.
Ramasamy menyifatkan CSA sebagai perkara rumit yang tidak ditangani secara terburu-buru.
"Tiada penyelesaian mudah untuk CSA. Ada perbincangan tentang kompromi dengan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin atas asas beberapa pembaharuan, tetapi PH menolaknya.
"Ada defisit kepercayaan. Sekali lagi, perdana menteri baru Ismail Sabri Yaakob menjanjikan tujuh pembaharuan institusi untuk PH memeterai CSA.
"Saya fikir PH - dengan mengambil kira soal kesihatan dan ekonomi - mungkin menimbang untuk menandatanganinya. Tapi saya fikir soal menerima tawaran dan memeterai perjanjian bukan perkara yang mudah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, bukan semua pihak dalam PH yang terbuka untuk menerima CSA.
Kenyataan itu menyusuli pemimpin PH lain yang turut menyuarakan keraguan berkenaan perkara itu, antaranya Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang.
DAP pada mulanya dilihat pihak yang paling terbuka dengan cadangan itu namun Lim baru-baru ini menyuarakan keraguan selepas Isamil Sabri membuat beberapa pelantikan yang menurutnya boleh dipersoalkan.
Dia membangkitkan pelantikan Muhyiddin sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) serta dakwaan yang seorang lagi bekas perdana menteri, Najib Razak akan turut diberi peranan.
Selain itu, Peguam Negara Idrus Harun juga mendakwa tiada keperluan untuk melaksanakan undi percaya terhadap Ismail Sabri di Dewan Rakyat.
Ramasamy juga berpandangan isu undi percaya masih belum diselesaikan.
"Tidak pasti akan ada usul undi percaya terhadap Ismail Sabri atau tidak. Dari perspektif perlembagaan, ia sesuatu yang tidak boleh dikompromi.
"Adakah PH akan menjadikan perkara itu sebagai syarat sebelum membuat pertimbangan terhadap CSA?" soalnya lagi.
Dia menegaskan tidak menolak kerjasama, terutama ketika waktu sukar.
"Kerjasama dengan tujuan menangani masalah negara yang lebih besar memerlukan kerajaan dan pembangkang mengetepikan perbezaan. Ini terutama ketika kerajaan memiliki majoriti yang lemah.
"Persoalan utama bagi saya - bolehkah kerajaan dipercayai, bukan saja berkenaan tujuh pembaharuan tetapi sama ada ia bersedia untuk melalui undi percaya?" soalnya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai