'Kalau kelas ekonomi beratur, kelas bisnes pun kena beraturlah'
Pemuda PAS meminta jemaah yang ingin menunaikan solat Jumaat di masjid supaya datang awal untuk mendapatkan tempat bagi menunaikan ibadah itu.
Dalam masa sama, Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari meminta pihak pengurusan masjid supaya tidak membezakan layanan terhadap jemaah yang datang ke masjid untuk menunaikan solat.
"Kita harapkan agar tidaklah lagi ada perbezaan layanan antara VIP dan kelas biasa untuk masuk ke masjid khususnya ketika ada batasan dari sudut bilangan.
"Benar, jemaah tetap kadang-kadang diberikan keutamaan, namun jemaah yang tidak tetap juga tidak boleh diketepikan, mereka hadir solat Jumaat kerana itulah solat berjemaah yang difardhukan dan ia hanya dilaksanakan di masjid yang dibenarkan, bukan di madrasah biasa.
"Kesimpulannya, mahu masuk ke masjid, datanglah awal. Kalau kelas ekonomi pun beratur, kelas bisnes pun beraturlah. Semoga pengurusan masjid tidak dihukum ditohmah dengan khilaf ini, apatah lagi permohonan maaf telah dibuat," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Terdahulu, pihak pengurusan Masjid Putra di Putrajaya hari ini memohon maaf atas "kekhilafan" yang berlaku ketika mereka mengendalikan kemasukan jemaah untuk solat Jumaat semalam.
Ini selepas tular satu klip video pendek menunjukkan orang ramai berkumpul di depan pintu pagar Masjid Putra untuk mendapatkan tempat bagi melaksanakan solat Jumaat.
Ketika mereka berkumpul, kelihatan seorang lelaki keluar dari sebuah kenderaan mewah untuk masuk ke masjid berkenaan diiringi dua lelaki dipercayai pengawal keselamatannya.
Ini menimbulkan kekesalan netizen yang beranggapan layanan terhadap jemaah biasa dibeza-bezakan dengan VIP terbabit.
Dalam kenyataan dikeluarkan Masjid Putra hari ini mereka berkata, pihak pentadbiran akan berusaha menyediakan perkhidmatan terbaik kepada jemaah "daripada pelbagai kedudukan".
Katanya ia adalah langkah untuk memelihara nama baik institusi masjid.
"Bagi memelihara nama baik institusi masjid, pihak pentadbiran Masjid Putra akan berusaha sedaya upaya menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada jemaah yang terdiri daripada pelbagai kedudukan.
"Justeru kami bersedia mempertingkatkan lagi kualiti pengurusan demi memastikan pelanggan setia kami gembira dan berpuas hati dengan khidmat yang diberi," katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata pengurusan masjid perlu mengambil iktibar teguran jemaah masjid demi kebaikan.
"Dalam masa yang sama, teguran dan saranan dari jemaah juga bertujuan untuk kebaikan," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai