Pemimpin tertinggi PH bertemu mata bincang tawaran PM petang ini
Pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan pertemuan pada petang ini bagi membincangkan senarai pembaharuan yang dijanjikan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Difahamkan dalam sesi berkenaan blok pembangkang akan membuat keputusan sama ada akan menandatangan perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) dengan kerajaan baru atau tidak.
Jika diterima, ia akan menyediakan suasana yang selesa dan selamat buat Ismail Sabri dalam sidang parlimen akan datang ketika dia kini menjadi perdana menteri dengan kelebihan undi yang tipis.
Dewan Rakyat dijadual mula bersidang pada Isnin ini dan ia merupakan yang pertama buat Ismail Sabri selaku perdana menteri.
Menurut sumber dalaman PH, pemimpin atasan parti komponen PH mengadakan pertemuan tertutup dengan wakil kerajaan bagi membincangkan CSA berkenaan semalam.
Ia dipercayai berlangsung sebelum Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan berhubung tujuh pembaharuan parlimen dan kerajaan yang dijanjikan Ismail Sabri semalam.
Bagaimanapun beberapa sumber membayangkan ada beberapa isu yang belum dimuktamadkan, termasuk jumlah tuntutan yang dibuat PH sebelum ini.
"Mesyuarat hari ini akan membincangkan tawaran perdana menteri dan pertemuan di antara para pemimpin PH dengan perdana menteri (semalam)," kata satu sumber.
Semua sedang dipertimbangkan
Jika semuanya berjalan lancar, katanya, CSA tersebut akan ditandatangani esok.
"Kami menjangkakan ada sedikit pertambahan berbanding apa ditawarkan perdana menteri semalam," kata seorang sumber lain.
Sementara itu Ketua Setiausaha Sekretarian PH, Saifuddin Nasution Ismail, mengesahkan kepada Malaysiakini majlis presiden gabungan itu akan bermesyuarat secara maya pada jam 5 petang ini bagi membincangkan isu CSA.
Dia yang juga setiausaha agung PKR menganggap tawaran Ismail Sabri semalam sebagai "OK-lah" namun perincian mengenainya akan dimaklumkan kemudian.
Bagaimanapun Saifuddin enggan mengulas ketika ditanya jika ada isu lain sedang dibincangkan.
Setiausaha Agung Amanah Dr Hatta Ramli juga mengesahkan wakil pembangkang dan kerajaan belum memuktamadkan butiran mengenai persetujuan tersebut.
Bercakap kepada Malaysiakini, Hatta berkata, pengumuman pejabat Ismail Sabri semalam adalah kenyataan ex-parte (sepihak).
"Semuanya masih dipertimbangkan dan saya tak dapat nak nyatakan secara pasti buat masa ini.
"Belum ada versi yang dimuktamadkan sekarang dan kalau kita tengok kenyataan semalam ia macam kenyataan bagi pihak dia, ex-parte saja," katanya.
Ditanya adakah PH sedia menandatangani CSA dengan Ismail Sabri sebelum sidang parlimen bermula pada lusa, Hatta berkata, dia tidak pasti dan menegaskan PH belum membuat sebarang keputusan.
Ahli parlimen Lumut itu juga menyatakan tiada sebarang tarikh akhir ditetapkan untuk kedua-dua pihak mencapai persetujuan secepat mungkin.
Semalam dalam kenyataan dikeluarkan Ismail Sabri, antara pembaharuan yang dijanjikan ialah pembentangan rang undang-undang (RUU) antilompat parti dan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan seseorang perdana menteri kepada 10 tahun saja.
Ahli parlimen pembangkang juga akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN).
Bagaimanapun hari ini Pengerusi PH Anwar Ibrahim menyatakan mereka masih meneruskan perbincangan dengan kerajaan bagi mencari titik persamaan di antara kedua-dua pihak.
Anwar juga menyatakan keinginan PH agar Putrajaya memberikan suntikan fiskal bernilai RM45 bilion untuk meringankan kesan pandemik Covid-19 yang ditanggung rakyat sekarang.
PH juga, kata ahli parlimen Port Dickson itu, masih berpendapat undi percaya masih perlu dibuat di parlimen secepat mungkin bagi mengabsahkan kedudukan Ismail Sabri sebagai perdana menteri, dan selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai