'Yang terlintas di fikiran cuma anak, isteri dan emak'
Ramai yang seakan tidak percaya dia terselamat daripada ajal pada Isnin lalu.
Ketika video kemalangan membabitkan kereta Myvi kuningnya yang remuk dirempuh lori di Jalan Ipoh tular di media sosial dan ditonton ratusan ribu orang, antara komen yang paling banyak ditinggalkan ialah betapa bertuahnya dia.
Ramai yang menganggap jika dilihat kepada keadaan kenderaannya, kecederaan ringan yang dialami Nik Adlee Saha Nik Ahmad Fauzi itu adalah suatu keajaiban.
Bagi tuan badan yang melalui sendiri detik berselisih dengan maut itu apa yang dapat dia panjatkan hanyalah kesyukuran kerana mendapat peluang kedua untuk meneruskan kehidupan.
Namun, akui jurujual kereta itu, tidak dapat tidak rasa trauma masih menghantui sehingga dia tidak dapat tidur malam selepas kejadian yang hampir meragut nyawanya itu.
“Semalam (9 Sept) baru saya boleh tidur sikit. Sejak hari kemalangan itu (6 Sept) sehingga tiga ke empat hari selepas itu, saya tak boleh tidur.
“Memang traumalah, tapi kehidupan kita ini tetap kena teruskan,” katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi semalam.
Nampak kepala lori datang
Ketika ini Nik Adlee, 45, juga mengalami rasa sakit-sakit badan dan lemah ekoran impak pelanggaran itu terutama di bahagian rusuk, tengkuk, belakang badan, kaki, dada, perut selain dan lebam-lebam pada badan. Namun dia lega apabila rasa kesakitan itu semakin berkurangan saban hari.
Ketika dirempuh lori yang melungsur laju dari belakang, dia juga dihentam beg udara dari depan, dan terhimpit oleh kerangka kereta yang remuk sehingga badannya terlipat.
Kata Nik Adlee ketika itu apa yang terlintas di fikirannya hanyalah keluarga yang sedang menunggu di rumah.
Lebih-lebih lagi, katanya, insiden itu berlaku ketika dia dalam perjalanan dari tempat kerjanya di Bangsar ke Gombak tempat dia dan dan isteri bersama empat anak mereka tinggal.
“Yang terlintas di fikiran masa itu cuma anak-anak, isteri, dan emak. Anak-anak saya pun (ada yang) masih kecil lagi.
“Seorang 18 tahun, seorang 15 tahun, 10 tahun, dan yang paling kecil baru 2 tahun,” katanya.
Menceritakan pengalaman ngerinya itu, kata Nik Adlee, memandangkan keretanya adalah objek pertama dirempuh lori berkenaan, dia dapat melihat kepala lori terbabit meluru laju ke arahnya.
Dalam keadaan begitu katanya dia tidak sempat berbuat apa-apa kerana ia kejadian tersebut berlaku dalam sekelip mata. Tambahan pula keadaan jalan itu memang mencerun ke bawah membuatkan kenderaan yang bergerak bertambah laju.
“Tak sempat nak lari, sebab saya di belakang sekali. Dah dapat agak dah (akan dilanggar), sedar-sedar nampak kepala lori di belakang (menujunya),” katanya.
Keretanya yang remuk terhimpit antara lori dan kenderaan lain di depan membuatkan banyak pihak tertanya-tanya bagaimana Nik Adlee terselamat tanpa kecederaan berat.
Detik cemas berakhir segera
Kata Nik Adlee, ketika tersepit di bawah kerusi kereta dalam keadaan badan terlipat dan tali keledar tersangkut, dia sebenarnya tidak dapat bernafas dan hampir lemas untuk seketika sebelum tersedar daripada kejutan, dan meminta pertolongan daripada orang ramai di situ.
“Allah nak bantu, Allah sayang, sebab tu tiba-tiba saya tersedar, saya terbuka mata, saya nampak depan saya itu orang panggil-panggil saya. Saya kata: Tolong... saya tak boleh bernafas.
“Saya minta mereka tarik kereta saya, sebab kerangka kereta sudah rapat (menghimpit badan). Ada hamba Allah dekat situ, dalam empat ke lima orang membantu saya tarik kerangka kerata bagi renggang sikit.
“Selepas mereka tarik kerangka depan kereta bagi agak renggang, barulah saya boleh buka tali pinggang keledar, barulah saya boleh keluar,” ceritanya.
Hasil bantuan orang ramai, cerita Nik Adlee detik cemas itu berakhir dalam masa yang tidak begitu lama.
Dalam salah satu video tular itu, Nik Adlee dilihat memanjat keluar dari keretanya yang kemik dengan muka berlumuran darah, disambut dengan tepukan pengguna jalan raya yang ada di sekitar tempat kejadian.
Bahkan, terdapat video lain yang menunjukkan kira-kira belasan pengguna mengerah kudrat menolak lori yang menghimpit keretanya dari belakang untuk membantu dia yang tersepit di dalam kereta.
Selepas itu, dia dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) menaiki ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Di situ, dia menunggu hampir 15 jam - dari kira-kira jam 3.30 petang hinggalah jam 5 pagi keesokan harinya - untuk selesai menjalani pemeriksaan kesihatan.
Mungkin terpelanting keluar
Dia ditempatkan di zon kuning unit rawatan rapi (ICU) HKL untuk pemantauan dan rawatan, termasuklah imbasan sinar X dan imbasan imbasan CT (tomografi berkomputer) yang dilakukan pada hampir tengah malam.
Selepas ini, kata Nik Adlee, dia masih harus membuat rawatan susulan di klinik pakar HKL bagi memastikan tiada kesan serius daripada kemalangan itu ke atas kesihatannya.
Sehari selepas kemalangan yang berlaku kira-kira jam 2.40 petang itu, polis mengesahkan menahan seorang pemandu lori yang didapati positif dadah.
Ditanya apakah dia akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pemandu lori berkenaan, kata Nik Adlee, dia menyerahkan hal tersebut kepada peguamnya.
Untuk rekod, pemandu lori berkenaan mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur semalam atas pertuduhan memandu kenderaan di bawah pengaruh dadah.
Buat pengguna jalan raya yang lain, Nik Adlee sempat menitipkan pesan agar sentiasa memakai tali pinggang keledar ketika berada dalam kenderaan, kerana malapetaka boleh menimpa tanpa diduga, meskipun kita tidak melakukan apa-apa kesalahan.
“Kalau saya tak pakai tali pinggang keledar, mungkin lagi teruk... terpelanting keluar agaknya," kata Nik Adlee.
Dia turut mengambil peluang untuk mengucapkan terima kasih buat semua pihak yang membantunya ketika hari kejadian, meskipun mereka semua tidak mengenali dirinya.
Tidak ketinggalan Nik Adlee merakamkan rasa terharu buat rakan-rakan dan ahli keluarga yang menghantar mesej peribadi memberikan kata-kata semangat buatnya.
“Yang tolong tarik kerangka kereta, yang tolong telefon APM, ambulans, yang bantu, saya berterima kasih. Memang terima kasih banyak-banyak, pada semua yang saya tak kenal yang tolong saya.
“Bersyukur sangat-sangat. Tuhan punya kuasa, (Dia) Dah bantu, dan tolong.
“Bila balik ke rumah, nampak anak-anak, nampak isteri, lega betul rasa. Maknanya, saya diberi peluang sekali lagi (untuk meneruskan hidup),” katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai