Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PH gesa harga siling kit ujian kendiri RM5 penghujung Nov

Jawatankuasa Kos Sara Hidup Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan menurunkan lagi harga siling kit ujian kendiri Covid-19 kepada RM5 pada penghujung November depan.

Dalam satu kenyataan, jawatankuasa itu berkata harga siling semasa RM19.90 yang ditetapkan kerajaan sekarang masih tinggi dan membebankan rakyat, khasnya golongan B40.

"Malahan, golongan M40 juga akan menghadapi masalah yang sama.

"Setiap unit kit ujian kendiri merupakan kit yang hanya dapat digunakan oleh seorang dan digunapakai sekali sahaja, ia tidak dapat diulang pakai. Dengan itu, nilainya akan hangus dalam sekelip mata.

"Keperluan dan permintaan untuk kit ujian kendiri ini amat tinggi pada masa kini dan ia akan terus meningkat, kerana ia merupakan kaedah yang paling cepat dan mudah untuk menyaring seseorang sama ada mereka telah dijangkit oleh virus Covid-19 atau sebaliknya," katanya.

Jawatankuasa Kos Sara Hidup PH terdiri daripada tujuh Ahli Parlimen dan dua ADUN iaitu Hassan Abdul Karim (MP Pasir Gudang-PKR); Hasanuddin Mohd Yunus (MP Hulu Langat - Amanah); Chong Chieng Jen (MP Stampin - DAP); N Sivakumar (MP Batu Gajah - DAP); Chan Foong Hin (MP Kota Kinabalu - DAP); Cha Kee Chin (MP Rasah- DAP); Asmirul Anuar Aris (Adun Kubang Rotan- Amanah) dan Norhayati Bachok (ADUN Maharani - Amanah).

Jawatankuasa berkenaan juga membidas pengumuman Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz bahawa kerajaan hanya akan menurunkan lagi harga siling berkenaan menjelang akhir tahun ini.

"Ini membuktikan kerajaan tidak prihatin terhadap masalah rakyat, dan keputusan ini juga bercanggah dengan semangat Keluarga Malaysia," tegasnya.

Menurutnya lagi, kerajaan berkewajiban mengurangkan harga siling runcit kepada paras RM15 menjelang akhir bulan ini, dan seterusnya pada paras bawah RM10 pada akhir bulan Oktober.

"Harga yang sewajarnya untuk kita ini pada masa depan ialah sekitar RM5.00 dan harga ini wajar diperkenalkan pada hujung bulan November," katanya.

Pada 2 September lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan penurunan harga runcit bagi kit ujian kendiri Covid-19 kepada RM19.90 seunit.

Khairy berkata, keputusan itu dibuat demi kepentingan rakyat.