Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menteri puji hak saksama bayi lahir di luar negara

Dua menteri menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang menetapkan bayi lahir di luar negara oleh wanita warga Malaysia dan bapa bukan warga secara automatik berhak mendapat kewarganegaraan Malaysia.

Zuraida Kamaruddin dan Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengalu-alukan keputusan mahkamah itu meskipun Kementerian Dalam Negeri (KDN) sejak awal, berusaha untuk menyekat keputusan tersebut.

Ini walaupun terdapat banyak aduan sebelum ini mengenai dakwaan diskriminasi dalam peruntukan perlembagaan yang hanya membenarkan anak lahir di luar negara yang bapanya bukan warganegara Malaysia untuk mendapat kewarganegaraan secara automatik itu.

Apabila sekumpulan ibu memfailkan cabaran di mahkamah pada Disember tahun lalu, Kementerian Dalam Negeri bawah teraju Hamzah Zainuddin telah mengemukakan pelbagai hujah menolak tindakan undang-undang itu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Ismail Mohamed Said (gambar, bawah) sebelum ini pula memberitahu parlimen wanita Malaysia yang berkahwain dengan pasangan warga asing tidak dibenarkan menyerahkan kewarganegaraan kepada anak-anak mereka yang dilahirkan di luar negara atas alasan keselamatan negara.

Dalam hujahannya di mahkamah, Kementerian Dalam Negeri berpendapat cabaran undang-undang oleh kumpulan ibu-ibu itu 'menyusahkan dan sembrono'.

KDN juga berpendapat amalan itu tidak bersifat diskriminasi. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam memutuskan sebaliknya.

Kedudukan Hamzah dan Ismail dibawah kepimpinan Muhyiddin Yassin dalam kerajaan dikekalkan.

Bawah pentadbiran perdana menteri yang baru, Ismail Sabri Yaakob, kedua-keduanya  Hamzah dan Ismail kekal menjawat jawatan masing-masing dari era pentadbiran Muhyiddin Yassin.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Zuraida Kamaruddin, yang juga presiden Majlis Pemimpin Politik Wanita Malaysia (Comwel), memuji keputusan mahkamah semalam dan berharap ia dapat dilaksanakan.

"Seperti mana yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi, keputusan ini tidak melibatkan sebarang perubahan dasar kerana undang-undang yang sedia ada sememangnya memelihara keluhuran Perlembagaan Persekutuan.

"Walau bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Negara kini perlu segera menginstitusikan dan melaksanakan keputusan tersebut dengan merangka prosedur permohonan kewarganegaraan selaras dengan keputusan ini.

"Saya berharap dengan pelaksanaan perintah ini, usaha kaum wanita Malaysia yang sedang memohon kewarganegaraan untuk anak-anak mereka dipermudahkan," katanya dalam satu kenyataan.

Manakala, Menteri Undang-undang di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (gambar, atas) berkata keputusan mahkamah itu 'memberi sinar' yang menerangkan dengan jelas pertuntukan dalam perlembagaan.

"Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara, dan setiap peruntukan harus ditafsirkan secara harmoni dengan yang lain untuk memasukkan akal dan ketertiban ke dalam perlembagaan itu sendiri.

"Oleh itu, hakim harus cukup berani untuk memperkenalkan rasa dan keharmonian itu," katanya seperti dipetik Malay Mail.

Namun, masih belum jelas apakah KDN akan merayu keputusan tersebut.