Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Gabungan NGO mohon PM jelaskan akta sekat agama bukan Islam

Gabungan NGO-NGO Malaysia memohon Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob membuat satu kenyataan yang jelas berhubung penggubalan undang-undang untuk menyekat dan mengawal pengembangan agama bukan Islam.

Sambil menyuarakan bantahan, gabungan NGO itu berkata rakyat kini memerlukan pemulihan ekonomi dan masa depan yang cerah, bukannya isu yang boleh menggugat ketenteraman awam.

Malah, gabungan NGO tersebut turut membantah pengenalan semula Rang Undang-Undang (RUU) 355 yang telah ditolak beberapa kali sebelum ini.

“Pengenalan ini bukan berniat untuk memperkasakan perundangan Syariah di negara ini, tetapi ini adalah satu serangan terhadap hak asasi rakyat Malaysia yang bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia, aspirasi bapa-bapa kemerdekaan dan Perjanjian Malaysia dengan negeri Sabah dan Sarawak.

“YAB, rakyat memerlukan bantuan, peluang pekerjaan, vaksin, pemulihan ekonomi dan harapan untuk suatu masa depan yang cerah.

“Rakyat tidak seharusnya ditekan dengan isu-isu sebegini yang boleh menggugat ketenteraman negara,” katanya dalam satu kenyataan selepas penyerahan memorandum kepada perdana menteri berhubung perkara tersebut di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Memorandum tersebut diserahkan kepada penolong setiausaha PMO oleh Presiden Global Human Rights Federation Sashi Kumar, Setiausaha Gabungan NGO Malaya, Sarawak & Sabah Arun Dorasamy dan Kumaran Gabungan dari Sekat Nasional.

Sebelum ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama Islam), Ahmad Marzuk Shaary mendedahkan bahawa rang undang-undang (RUU) bagi Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam sedang digubal.

Kandungannya bagaimanapun sehingga kini belum diketahui.

Ahmad MArzuk berkata RUU itu dikemukakan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa orang bukan Islam boleh menggunakan kalimah "Allah".

Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata RUU syariah yang dimaksudkan Ahmad Marzuk belum dibawa ke peringkat kabinet  dan memerlukan persetujuan semua negeri terlebih dahulu.