Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Dakwaan langgar kuarantin rumah - Ini tidak benar, kata Lim

Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng menafikan tuduhan bahawa dia beberapa kali melanggar kuarantin rumah - antaranya untuk menghadiri sidang DUN Pulau Pinang dan mengedarkan bakul makanan.

“Ini adalah tidak benar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, perbicaraan rasuah Lim ditangguhkan ke 22 September setelah dia diarahkan melakukan kuarantin kendiri selama 10 hari dari 1 hingga 10 September selepas menjadi kontak rapat dengan seorang pesakit Covid-19.

Pada hari sama, Pemuda Gerakan Pulau Pinang membuat satu laporan polis ke atas Lim menuduhnya melanggar kuarantin rumah, seperti dilaporkan The New Straits Times.

Mereka mempersoalkan bagaimana Lim boleh menghadiri sidang DUN Pulau Pinang pada 2 September sedangkan tarikh itu adalah termasuk dalam tempoh kuarantin kendirinya.

Dalam kenyataannya, Lim menjelaskan bahawa dia hanya dimaklumkan bahawa dia mungkin kontak rapat seorang pesakit Covid-19 setelah menghadiri mesyuarat DUN pada 2 September dan telah kemudiannya diuji negatif.

“Pada 6 September, Kementerian Kesihatan secara rasminya telah mengeluarkan arahan kuarantin kendiri di rumah dari 1 sehingga 10 September dan mewajibkan Lim memakai gelang merah jambu,” katanya.

Sementara itu, hantaran Facebook yang dibuat Lim pada 2, 4 dan 8 September turut mencetuskan spekulasi bahawa dia melanggar kuarantinnya untuk mengedarkan makanan.

Hantaran itu tidak menyatakan tarikh pengedaran makanan itu dilakukan.

Jelas Lim, hantaran itu dibuat beberapa hari setelah acara berkenaan berlaku.

“Lim tidak keluar ke tempat awam untuk mengedarkan bakul makanan selepas 2 September.

“Hantaran Facebook pengedaran bakul makanan yang dilakukan oleh Lim telah dilakukan beberapa kali pada atau sebelum 31 Ogos di kawasan parlimennya di Bagan,” kata kenyataan itu lagi.

Tambahnya, perkara itu dapat disahkan oleh beberapa wakil rakyat DAP - Phee Boon Poh, Soon Lip Chee dan Sateesh Muniandy - yang turut hadir pada acara berkenaan. 

Sementara itu, Bernama melaporkan polis akan memanggil Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng bagi membantu siasatan berhubung dakwaan ingkar arahan kuarantin kendiri.

Ketua Polis negeri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata keterangan Ahli Parlimen Bagan itu akan diambil selepas beliau selesai menjalani kuarantin kendiri yang tamat esok.

"Siasatan kes itu diklasifikasikan sebagai kertas enkuiri polis dan setakat ini, polis telah menerima tiga laporan berhubung isu berkenaan, kami sudah merekodkan keterangan tiga individu iaitu mereka yang membuat laporan berhubung perkara tersebut.

“Selain itu, polis merekodkan keterangan daripada pihak Setiausaha DUN dan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini bagi membantu siasatan kes tersebut," katanya.