Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PM perlu beri jaminan pendatang asing terima vaksin - HRW

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob digesa memberi jaminan bahawa kerajaan menyokong pemberian vaksin kepada pendatang asing yang tidak mempunyai dokumen yang sah.

Human Rights Watch (HRW) berkata, kerajaan perlu memberi jaminan bahawa pendatang asing berkenaan tidak akan dilaporkan atau ditangkap, kata Human Rights Watch (HRW).

Kumpulan hak asasi antarabangsa itu berkata, jaminan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sendiri bahawa setiap individu di Malaysia layak mendapat vaksin Covid-19 tanpa mengira status dokumentasi mereka adalah tidak memadai untuk meyakinkan pendatang asing.

"Kenyataan terbaru oleh Khairy mengalu-alukan untuk akses yang lebih adil terhadap vaksin.

"Tetapi melainkan jika kerajaan bertindak untuk membuktikan kata-kata itu, ramai pendatang di Malaysia yang tiada dokumen tidak mungkin mengambil risiko untuk tampil mendapatkan vaksin," kata penasihat undang-undang HRW Asia, Linda Lakhdhir dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam lawatannya ke Pulau Larapan di daerah Pantai Timur Sabah di Semporna pada Selasa lalu, Khairy dilapor berkata dia mengalakkan usaha vaksinasi di pulau itu yang menyaksikan individu yang tidak mempunyai dokumen yang sah menerima vaksin mereka.

Khairy berkata dia telah memberitahu pegawai kesihatan bahawa kesihatan awam menjadi keutamaan pada masa ini.

Namun, Lakhdhir berkata ini bukan kali pertama Khairy memberi jaminan kepada pendatang asing bahawa ia adalah selamat untuk mereka tampil menerima vaksin.

"Pada Februari 2021, sebagai menteri Sains dan penyelaras program vaksin Covid-19 Malaysia, Khairy mengumumkan bahawa pendatang tanpa dokumen yang mahukan vaksin tidak akan ditangkap.

"Tetapi pada bulan Jun, janji itu dimungkiri apabila Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin mengumumkan tindakan keras terhadap pekerja yang tidak berdokumen, dan Jabatan Imigresen menangkap dan menahan ratusan mereka dalam beberapa serbuan.

"Akibatnya, pendatang asing tanpa dokumen menjadi skeptikal dengan janji kerajaan, "katanya.

[Baca berita penuh]