Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahmad Maslan gesa laksana segera Undi 18, daftar automatik

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mengulangi gesaan agar penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun serta pendaftaran pemilih secara automatik segera dilaksanakan.

Menyifatkan dua perkara itu akan dapat menyuburkan demokrasi, Ahmad berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah diberi masa secukupnya untuk bersiap sedia dengan pelaksanaannya.

Dia turut menggesa agar desakan dibuat ke atas SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi memastikan pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran secara automatik dapat dilaksanakan menjelang PRU15.

“Daftar automatik dan Undi 18 telah diluluskan (dengan majoriti) lebih dua pertiga undi di Dewan Rakyat sejak 16 Julai 2019. Masa yang cukup telah diberi kepada SPR.

“SPR perlu bekerjasama rapat dengan JPN untuk melaksanakan Undi 18 dan daftar automatik. Ini semua baik untuk negara. Beri peluang kepada ramai rakyat untuk memilih kerajaan yang terbaik.

“Desak SPR dan JPN,” katanya di Twitter.

Penurunan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun telah diluluskan oleh Parlimen pada 2019 tetapi masih belum dilaksanakan.

Pada 25 Mac lalu, SPR mengumumkan penundaan pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pengundi automatik, hingga 1 September tahun depan.

Keputusan itu bermaksud golongan berusia 18 hingga 20 tahun kemungkinan tidak akan dapat mengundi pada pilihan raya akan datang.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuching pada 3 September lalu memerintahkan kerajaan agar penurunan had umur mengundi dilaksanakan menjelang 31 Disember tahun ini, susulan semakan kehakiman oleh lima anak muda yang dinamakan kumpulan Undi Sarawak.

Semalam pula, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kerajaan akan akur dengan keputusan berkenaan memandangkan belum ada arahan untuk membuat rayuan terhadapnya.

Dalam pada itu, Ahmad berkata dengan pelaksanaan dua dasar itu, semakin ramai yang akan diberi hak untuk mengundi.

"Lagi ramai pengundi lagi baik. Jangan kecilkan ruang demokrasi," katanya lagi.

Dia turut menggesa agar daftar pemilih dibersihkan, dengan mengeluarkan nama setengah juta nama yang sudah berusia lebih 100 tahun atau yang sudah pun meninggal dunia.