Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pak Ya giat ternak burung murai batu elak populasi pupus

Burung murai batu merupakan haiwan di bawah perlindungan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) namun masih ramai individu yang memburunya secara haram sehingga menyebabkan ia hampir pupus.

Justeru, faktor-faktor yang mempengaruhi harga yang tinggi seperti kebolehannya mengeluarkan bunyi yang merdu serta bahagian ekor yang berupaya tumbuh panjang sehingga mencapai 8 hingga 12 inci menyebabkan ia menjadi buruan penggemar-penggemar burung tempatan.

Quek Ming Shiang, 38, atau lebih mesra dipanggil Pak Ya, menyedari hal tersebut telah mengambil inisiatif sendiri untuk mempergiatkan lagi penternakan murai batu bagi mengekalkan populasi burung tersebut supaya tidak pupus.

"Salah satu sebab saya buat secara besar-besaran seperti burung spesis murai batu ni kerana populasinya hampir pupus.

"Jadi kita biakkan dalam sangkar dan mungkin satu hari kita nak buat pelepasan dengan kerjasama Jabatan Perhilitan supaya kembali ke habitat asal selaras dengan misi mereka untuk melindungi hidupan liar yang hampir pupus," katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pasir Ara, Bukit Marak, Bachok, Kelantan, baru-baru ini.

Menurutnya, disebabkan terlalu minat terhadap burung sejak 13 tahun lalu, setakat ini dia telah pun memiliki lebih 500 ekor burung dengan 14 spesies yang kebanyakannya merupakan baka dari luar negara.

"Baka kalau murai batu ni memang baka tempatan cuma spesies yang lain tu kita beli dari orang tempatan juga tapi ia sendiri adalah baka dari luar seperti Brazil, Afrika, Australia, Indonesia dan banyak juga dari Amerika Selatan.

"Dari segi lesen dan permit pembiakan tu memang kita ada cukup lengkap kerana burung yang saya miliki ini kebanyakannya bawah perlindungan Perhilitan jadi agak berat lah kalau dikenakan kompaun oleh pihak berkuasa," katanya.

Tambahnya, sokongan ahli keluarga terhadap usahanya menternak burung adalah sangat menggalakkan kerana selain ia dijadikan sebagai sumber pendapatan, semua burung dijaga dengan sangat sistematik termasuk dari segi aspek kebersihan.

"Sebab sebelum ini, kebanyakan orang tak boleh terima burung ni kerana dikatakan tidak membuahkan hasil dan sangat kotor sehingga mudah untuk menyebarkan penyakit.

"Tetapi apabila mereka lihat hasil yang kita buat dengan kebersihan yang kita jaga, orang masuk kandang pun orang boleh terima.

"Sebelum ni mereka tiada sistem pengurusan yang elok dari segi saluran perairan dan penyelenggaraan sisa buangan burung, sebab itu lah boleh menularkan penyakit," ujarnya.

Belajar rawat sendiri

Selain itu Pak Ya berkata masa yang diperlukan untuk mengurus kesemua burungnya adalah sangat singkat dan mudah.

"Dari segi pengurusan masa yang betul-betul hanya sebulan sekali sahaja. Makanan pula kita bagi dua kali sahaja yang mana hanya sekitar dua jam untuk saya uruskan kesemuanya setiap hari.

"Maknanya di sini, banyak lagi masa terluang untuk membolehkan kita buat aktiviti-aktiviti lain seperti mendampingi keluarga, berehat dan lain-lain.

"Kadang-kadang ada antara ahli keluarga saya yang suka membantu menyuapkan anak burung yang baru menetas. Mereka suka kerana disamping membantu, mereka juga boleh bermain-main dengan anak burung itu," terangnya.

Katanya lagi, kemahiran merawat burung yang diperolehnya sekarang adalah daripada pengalamannya yang suka mencuba sebelum ini setelah mengkaji sendiri berdasarkan maklumat di internet serta tunjuk ajar rakan-rakan penternak yang lain.

"Sekarang ini memang kita rawat sendiri dan kemahiran tu dari pengalaman sahaja. Sebabnya sebelum ni burung kita selalu sakit dan banyak yang mati membuatkan kita jadi tertekan.

"Jadi, dari titik itu kita cari inisiatif sendiri dengan belajar dari internet dan tanya orang sekeliling lepas tu kita cuba lah sendiri. Lama-kelamaan selepas banyak percubaan akhirnya kita tahu dengan sendiri.

"Kebanyakan ubat yang kita guna adalah diimport dari Belgium tetapi yang paling penting sekali adalah penyediaan keperluan asas seperti air, makanan serta sarang perlu sentiasa berada dalam keadaan bersih untuk elak dari sebarang penyakit," ulas Pak Ya.