Undi percaya: Warisan enggan berbalah dengan AG, kata Shafie
Warisan kelihatan tidak berminat terlibat dalam polemik mengenai perlunya undi percaya terhadap Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri dan keputusan Putrajaya tidak memasukkan usul mengenainya dalam sidang parlimen minggu depan.
Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal berkata parti itu berpendapat apa yang penting sekarang ialah untuk semua pihak melangkah ke depan.
"Kita banyak sangat politik... saya tak mahu berbalah dengan peguam negara (AG). Bagi kami keadaan ini harus menjadi satu peringatan... kita mau ketelusan, mahu bawa keyakinan rakyat
"Jangan hari ini kita cakap lain, esok buat lain. Nanti susah... macam mana nak dapatkan keyakinan dan sokongan rakyat?" katanya kepada media di Kota Kinabalu hari ini.
Menurut bekas ketua menteri Sabah itu, Warisan bertindak berpandukan kepada titah Yang di-Pertuan Agong yang sebelum ini memberitahu pemimpin politik di Istana Negara bulan lalu agar perdana menteri mendapatkan undi percaya di Dewan Rakyat.
Sama ada Putrajaya memenuhi titah itu atau tidak, kata Shafie, Warisan tidak ada peranan mengenainya.
"Tuanku menyatakan kaedah dan cara melantik perdana menteri kesembilan ialah menerusi SD (perakuan bersumpah). Selepas SD, tuanku panggil semua yang memberi sokongan.
"Selepas itu Agong menyatakan, secara serta-merta perdana menteri itu mesti membawa (usul) untuk mengabsahkan kedudukannya... itu titah Tuanku.
"Selain daripada itu, saya tak taulah. Bukan kita yg mendesak (mahu undi percaya).
"Sekarang ia adalah tugas kerajaan, bukan kami, untuk mengabsahkan (kedudukan perdana menteri) kerana itu yang dititahkan Agong," katanya.
Pada 4 Sept lalu Peguam Negara Idrus Harun memaklumkan tiada keperluan undi percaya dilakukan di Dewan Rakyat bagi menguji keabsahan Ismail Sabri selaku perdana menteri kerana ia boleh dianggap menjejaskan kuasa Agong.
"Sekiranya pelantikan perdana menteri yang baru masih memerlukan keabsahan oleh mana-mana pihak selain daripada Agong, ini bermakna kuasa mutlak baginda boleh diatasi oleh pihak lain.
"Langkah sedemikian adalah tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan menidakkan kuasa Agong seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai