Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kerajaan baru masih pertimbang tawaran Muhyiddin pada PH

Pembaharuan yang dicadangkan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin kepada pembangkang ketika cuba mempertahankan pentadbirannya masih akan dipertimbangkan oleh pentadbiran baru, kata menteri undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Katanya, walaupun pembangkang sebelum ini menolak tawaran Muhyiddin, kerajaan baru akan mengkaji cadangan yang telah dibuat presiden Bersatu itu.

"Transformasi kerajaan yang saya sebut, ialah berlandaskan apa yang disebut oleh Muhyiddin, semasa membuat tawaran kepada pihak Pakatan Harapn (PH).

"Saya akan kaji semua cadangan-cadangan yang dibuat beliau itu termasuklah memendekkan penggal perkhidmatan perdana menteri dan yang kedua untu melihat undang-undang antilompat parti dan ketiga laksanakan Undi-18," katanya.

Namun, desakan Ahli Parlimen Umno Pengerang, Azalina Othman Said untuk pelaksanaan 'recall election; mungkin tidak begitu lancar.

Wan Junaidi menyatakan bahawa cadangan Azalina adalah dalam bentuk usul persendirian.

Dia berkata, jika diterima, ia boleh dimasukkan ke dalam aturan mesyuarat Parlimen.

Bagaimanapun, Wan Junaidi menambah, terpulang kepada parlimen sama ada ia akan menjadi keutamaan atau tidak.

"Sebagai anggota eksekutif, saya tidak perlu campur tangan dalam urusan parlimen," katanya.

Secara konvensional, urusan kerajaan akan selalu diutamakan berbanding usul bukan kerajaan atau usul persendirian.

Ini bererti bahawa tanpa campur tangan kerajaan untuk mengutamakan usul itu, ia mungkin tidak akan dibentangkan.

'Recall election' dilihat sebagai alternatif untuk mencegah ahli parlimen lompat parti.

Undang-undang antilompat yang serupa di Kelantan sebelumnya dinyatakan tidak berperlembagaan kerana melanggar kebebasan berpersatuan.

'Recall election' atau pilihan raya pecat, memungkinkan para pengundi untuk memecat ahli parlimen yang mereka rasakan telah gagal dan menggantikannya dengan calon baru.

Ketika cuba mendapatkan sokongan ahli parlimen pembangkang untuk mempertahankan majoriti di parlimen, Muhyiddin menawarkan pelaksanaan beberapa pembaharuan dasar.

Ini termasuk memperkenalkan akta antilompat parti, peruntukan yang sama antara ahli parlimen kerajaan dan pembangkang, jawatan ketua pembangkang bertaraf menteri, serta melibatkan ahli parlimen pembangkang dalam perbincangan mengenai sebarang rang undang-undang, termasuk belanjawan persekutuan.