Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Serbuan polis pada Julai 2015 sukarkan audit 1MDB'

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa tidakan polis merampas dokumen pada bulan Julai 2015 telah menyukarkan bagi 1MDB untuk membekalkan dokumen untuk diaudit oleh Jabatan Audit Negara (JAN).

Bekas juruaudit JAN, Saadatul Nafisah Bashir Ahmad bersetuju dengan peguam bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy mengenai serbuan polis pada 8 Julai, enam tahun lalu.

Saksi pendakwaan ketujuh berkata demikian semasa memberi keterangan pada perbicaraan pindaan laporan audit 1MDB terhadap Arul Kanda dan bekas perdana menteri Najib Razak.

Peguam pembelaan utama Arul Kanda, N Sivananthan memeriksa balas Saadatul Nafisah mengenai tuntutan berterusan JAN dari 1MDB untuk mendapatkan dokumen sebagai sebahagian daripada audit.

Sebelum ini semasa perbicaraan di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan, mahkamah telah mendengar keterangan bahawa JAN menghadapi kesukaran untuk mendapatkan 1MDB supaya berkongsi dokumen sebagai sebahagian daripada audit ke atas firma pelaburan negara itu.

Sivananthan: Adakah kamu sedar bahawa PDRM (Polis Diraja Malaysia) telah merampas dokumen dari 1MDB pada 8 Julai 2015?

Saadatul Nafisah: Saya ada dengar berita itu tetapi saya tidak ingat tarikh yang tepat dan dokumen apa yang mereka rampas.

Sivananthan: Kamu bersetuju bahawa ini (serbuan dan rampasan dokumen 1MDB oleh polis) meletakkan 1MDB dalam keadaan sukar kerana PDRM merampas dokumen (1MDB) mereka dan mereka perlu meminta dokumen (yang dirampas) dari pihak berkuasa untuk proses audit?

Saadatul Nafisah: Ya.

Najib dituduh menggunakan kedudukannya untuk megarahkan pindaan ke atas laporan audit akhir 1MDB sebelum diserahkan kepada PAC, untuk mengelakkan tindakan terhadapnya.

Tertuduh bersama Arul Kanda didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut.

Tuduhan tersebut dibuat di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, atau mana yang lebih tinggi.

Pihak pendakwaan mengandaikan bahawa keputusan untuk membuat pindaan itu dibuat pada pertemuan di pejabat ketua setiausaha negara ketika itu, Ali Hamsa, untuk memadam atau meninda bahagian tertentu dari laporan audit 1MDB, termasuk mengugurkan dua penyata kewangan yang bercanggah milik firma itu untuk tahun 2014.

Selain Ali, Arul Kanda dan Saadatul Nafisah, mereka yang hadir dalam perjumpaan itu adalah bekas ketua audit negara Ambrin Buang, bekas setiausaha sulit Najib Shukry Salleh, dan wakil Pejabat Peguam Negara (AGC) Dzulkifli Ahmad.

Semasa prosiding mahkamah terbuka di hadapan Zaini hari ini, Sivananthan juga mencadangkan terdapat bahawa 57 bahagian laporan audit 1MDB telah dipinda berikutan Arul Kanda memberi maklumat lebih lanjut kepada JAN.

Peguam bela mencadangkan bahawa pindaan tambahan dibuat terhadap laporan tersebut walaupun setelah 24 Februari 2016.

Bagaimanapun, Zaini mengarahkan peguam bela Arul Kanda untuk memberi lebih banyak masa kepada Saadatul Nafisah untuk menjawab soalan itu kerana dia perlu meneliti banyak dokumen dengan intensif sebelum dapat memberikan jawapan yang tepat.

Pemeriksaan balaske atas Saadatul Nafisah akan bersambung pada 27 September.