Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

101 gelendangan di Sarawak terima suntikan vaksin

Sebanyak 101 gelandangan di Sarawak menerima satu dos vaksin Covid-19 dengan 42 daripada mereka sudah melengkapkan dos vaksin melalui Program Vaksinasi Komuniti Gelandangan yang dilancarkan di negeri itu.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak Fatimah Abdullah berkata mereka yang menerima vaksin itu adalah antara 121 gelandangan dikenal pasti untuk program terbabit.

“Matlamat Kerajaan Sarawak agar tidak ada rakyat ketinggalan daripada disuntik vaksin Covid-19 demi mencapai imuniti kelompok. Tidak kira siapa mereka dan di mana berada,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan program itu di Sibu malam tadi.

Program berkenaan dilaksanakan di sembilan bahagian pentadbiran di Sarawak dengan kolaborasi bersepadu beberapa agensi kerajaan negeri dan persekutuan bermula 25 Julai lepas menerusi pelaksanaan operasi cerapan gelandangan di semua bahagian secara berkala bagi mendapatkan input.

Operasi vaksinasi di setiap bahagian adalah mengikut tiga kaedah bersesuaian dengan memberikan suntikan vaksin kepada gelandangan sama ada di pusat penempatan sementara gelandangan (PPSG), di pusat pemberian vaksin (PPV) atau secara bergerak.

Fatimah berkata masalah gelandangan adalah rumit dan memerlukan pendekatan bersepadu, kolaboratif, kolektif dan holistik.

“Justeru, kerajaan negeri meluluskan penubuhan Tempat Transit Gelandangan (TTG) dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di bandar raya atau bandar-bandar besar yang mempunyai bilangan gelandangan ketara, khususnya di Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu,” katanya.

Dia berkata TTG berfungsi sebagai tempat transit bagi gelandangan membersihkan diri, makan malam dan tidur sebelum keluar keesokan hari untuk menjalankan urusan masing-masing.

“Di TTG juga mereka dapat diberi rujukan intervensi yang diperlukan untuk menangani isu dihadapi; menyertai social enterprise disediakan serta diberi bimbingan dan kaunseling.

“Pembinaan projek TTG di Sibu setakat ini sudah 84 peratus dan dijangka siap pada penghujung September ini, sementara TTG Bintulu ditubuhkan di Rumah Tumpangan Lembaga Pembangunan Bintulu (BDA) di Kampung Kamunting Bintulu,” katanya.

-Bernama