Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Menjawab kenyataan Idrus dalam isu undi percaya

ULASAN | Kami selaku kumpulan masyarakat madani yang menandatangani kenyataan ini membalas kenyataan Peguam Negara (AG) Idrus Harun pada 4 Sep lalu.

Idrus merujuk kepada penggunaan Perkara 40(2) (a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan dan membuat dua kesimpulan:

(a) Kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk melantik perdana menteri adalah kuasa mutlak; dan

(b) Sebarang langkah oleh Dewan Rakyat untuk mengesahkan apakah Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memiliki kepercayaan majoriti melalui undi terus akan menjadi tindakan untuk mengatasi apa yang yang didakwa sebagai kuasa mutlak Agong.

Dengan penuh hormat terhadap Pejabat AG kesimpulan Idrus itu tidak masuk akal. Ia bertentangan dengan semangat demokrasi berperlembagaan Malaysia dan memalukan Pejabat AG.

Berdasarkan hal yang sama, masyarakat umum wajar mengetahui nasihat Idrus kepada kerajaan dan Agong mengenai isu-isu ini:

Pertama, adakah kedudukan pandangan Idrus bahawa Malaysia diperintah oleh raja yang berkuasa mutlak? Seperti yang diketahui setiap rakyat, Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dengan raja berperlembagaan.

Tidak ada mana-mana institusi - sama ada raja berperlembagaan, pihak eksekutif, parlimen atau badan kehakiman - yang mempunyai kuasa mutlak. Semua institusi ini melaksanakan kuasa berdasarkan had yang ditetapkan mengikut perlembagaan, prinsip-prinsip demokrasi perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Agong sendiri menekankan hal ini beberaka kali kepada kerajaan dalam bulan-bulan kebelakangan ini. Misalnya kenyataan Istana Negara pada 29 Julai 2021 dan 18 Ogos 2021.

Seperti yang dijelaskan oleh pakar-pakar terkemuka, kebijaksanaan raja berperlembagaan berdasarkan Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) adalah "budi bicara terkawal" kerana "tidak ada budi bicara yang mutlak dan ia harus dilaksanakan sesuai dengan parameter undang-undang dan konvensyen." (Faruqi 2020, hlm 6).

Kedua, adakah Idrus membantah kuasa dan autoriti Dewan Rakyat yang berdasarkan perlembagaan dan prinsip demokrasi yang termaktub untuk membentuk dan menukar kerajaan melalui - antara lain - usul percaya dan tidak percaya?

Bahkan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nizar lwn Zambry bersetuju dengan pandangan yang diutarakan oleh Mohamed Raus Sharif (ketua hakim negara ketika itu) di Mahkamah Rayuan bahawa, sementara raja berperlembagaan boleh bergantung kepada bukti luaran selain daripada undi dalam badan perundangan untuk menentukan persoalan kepercayaan, "pengundian langsung di dalam [badan perundangan] adalah ideal" (Mohammad Nizar Jamaluddin lwn Zambry Abdul Kadir (AG, pencelah) [2010] 2 MLJ 285, pada 307 [47 - 48]).

Daripada kenyataan Istana Negara pada 18 Ogos 2021 adalah jelas bahawa Agong sangat menyedari hakikat ini dan peranan perlembagaan parlimen, kerana baginda secara tegas menitahkan perdana menteri baru "hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat”.

Ketiga, dengan cubaan menggambarkan pelantikan Ismail Sabri sebagai perdana menteri sebagai pelaksanaan "kuasa mutlak" Agong yang tidak tertakluk kepada undi percaya, adakah Idrus sebenarnya mengambil pendirian bahawa titah baginda dalam kenyataan pada 18 Ogos lalu sebagai tidak berperlembagaan atau tidak boleh diikuti?

Pendirian tidak dapat dipertahankan

Keempat, adakah Idrus menyanggah prinsip asas demokrasi berparlimen yang tertanam dalam semangat jika tidak dengan perkataan Perkara 40(2)(a) dan 43(2)-(4) bahawa kewajiban perdana menteri untuk mengekalkan kepercayaan majoriti anggota Dewan Rakyat adalah kewajiban berterusan sepanjang tempoh jawatannya?

Dan bahawa Dewan Rakyat turut memegang atau mengekalkan kuasa dan autoriti untuk menyatakan kepercayaan atau hilang kepercayaan kepada perdana menteri selama mana memegang jawatannya?

Dengan kata lain, sebarang langkah pada masa akan datang oleh anggota Dewan Rakyat untuk menguji kepercayaan terhadap perdana menteri sama ada semasa sidang pada Sept, Okt, Nov atau Dis sama sekali tidak ada kaitan dengan pelantikan perdana menteri oleh Agong pada Ogos.

Kelima, dengan cubaan menggambarkan pelantikan Ismail Sabri sebagai perdana menteri sebagai menjalankan "kuasa mutlak" Agong yang tidak tertakluk kepada undi percaya, adakah Idrus cuba untuk menekan ekspresi pendapat dan tindakan sah yang mungkin diambil mengenai perkara tersebut?

Sementara menunggu jawaban daripada Idrus, kita sangat sedar bahawa mengikut Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 dan peraturan mesyuaratnya, Dewan Rakyat boleh memanggil mana-mana orang di hadapan mereka - termasuk peguam negara - untuk menjawab soalan dan menjelaskan pendirian mereka mengenai perkara-perkara yang mengancam atau mempersoalkan kuasa, hak dan keistimewaan Dewan Majlis.

Pendirian peguam negara yang tidak dapat dipertahankan mengenai sistem pemerintahan di Malaysia - bahawa raja bersifat mutlak dan bukannya berperlembagaan - dipersol kelayakannya untuk jawatan tersebut.

Kekeliruan fundamental pada tahap tinggi seperti itu pasti akan menimbulkan halangan dan pengalihan tumpuan yang tidak perlu kepada agenda perundangan dan tadbir urus kerajaan.


Komuniti Perintis Untuk Parlimen Profesional ialah jaringan individu yang aktif dalam kumpulan masyarakat madani, badan pemikir dan akademia yang mahu mewujudkan persaingan dasar yang sihat antara pelbagai parti. 

Artikel ini ditandatangani bersama oleh Bersih, Bait al-Amanah, Persatuan Pengundi Muda (Undi18), Engage, Institut Reformasi Politik dan Demokrasi (Reform) dan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas). Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.