Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

NGO: Parlimen boleh panggil AG jelaskan kenyataan tentang undi percaya

Parlimen mempunyai kuasa untuk memanggil Peguam Negara Idrus Harun bagi menjejaskan kenyataannya bahawa undi percaya tidak perlu diadakan di Dewan Rakyat, menurut kumpulan NGO.

Komuniti Perintis Untuk Parlimen Profesional (SCPP) berkata, kuasa itu di bawah Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan kuasa)1952 (Akta 347) serta Perintah Tetap Dewan Rakyat.

"Kami sangat sedar bahawa...Dewan Rakyat boleh memanggil sesiapa saja, termasuk peguam negara, untuk menjawab soalan dan menjelaskan pendirian berhubung hal yang mengancam atau mempersoal kuasa, hak dan keistimewaan Parlimen.

"Pendirian peguam negara tentang sistem pemerintahan di Malaysia yang tak dapat dipertahankan - bahawa monarki adalah mutlak dan bukan beperlembagaan - membawa persoalan berkenaan kelayakannya untuk memegang jawatan itu," kata SCPP dalam kenyataan semalam.

Terdahulu, Idrus berkata undi percaya tidak perlu diadakan memandangkan Yang di-Pertuan Agong telah melantik Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Malah menurut Idrus, pelaksanaan undi itu akan menjejaskan kuasa Agong.

SCPP menyifatkan hujah Idrus sebagai "mengarut" dan telah memalukan Pejabat Peguam Negara.

Ia juga mengingatkan bahawa Malaysia menggunakan sisem raja beperlembagaan dan tiada institusi atau entiti - termasuk Agong - memiliki kuasa mutlak.

"Adakah Idrus berpendirian yang titah Agong pada 18 Ogos adalah tidak beperlembagaan dan tidak boleh diikut?" soal SCPP, merujuk kepada titah bahawa perdana menteri baru perlu mengadakan undi percaya secepat mungkin.

Katanya lagi, Parlimen juga memiliki kuasa untuk membentuk dan mengubah kerajaan dengan salah satu kaedahnya melalui undi percaya.

Perdana menteri juga wajib mengekalkan tahap sokongan di Dewan Rakyat sepanjang memimpin pentadbiran negara, katanya lagi.

"Sebarang langkah daripada mana-mana ahli parlimen untuk menguji tahap keyakinan terhadap perdana menteri ketika sidang September, Oktober, November atau Disember langsung tiada kaitan dengan pelantikan perdana menteri oleh Agong pada Ogos," kata SCPP.