Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tak puas hati MB N Sembilan isu dalaman parti - Empat Adun PKR

Isu akar umbi hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun selaku pengerusi PKR negeri merupakan urusan dalaman parti, kata empat Adun Negeri Sembilan.

Empat Adun PKR itu mengeluarkan penjelasan tersebut selepas kenyataan umum oleh akar umbi parti terhadap Aminuddin semalam menimbulkan kebimbangan ia boleh menjejaskan kestabilan kerajaan Negeri Sembilan pimpinan Pakatan Harapan.

Ini kerana empat Adun berkenaan, iaitu Ismail Ahmad (Labu), M Ravi (Sri Tanjung), Mohamad Rafie Ab Malek (Ampangan), dan Michael Yek Diew Ching (Chuah) turut menandatangani kenyataan akar umbi semalam.

Namun, sejak itu Yek menolak pembabitannya dan menegaskan perkara itu harus diselesaikan secara dalaman.

Keempat-empat Adun itu, pada satu kenyataan baru hari ini, meminta campur tangan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

"Kami mengambil maklum bahawa ramai antara pendokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak berpuashati dengan prestasi Aminuddin Harun selaku pengerusi MPN PKR Negeri Sembilan.

"Isu ini adalah masalah dalaman parti.

"Kami menyokong penuh Anwar Ibrahim selaku presiden Parti Keadilan Rakyat dan berkeyakinan penuh terhadap kebijaksanaan Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan kemelut ini," kata empat Adun itu.

Awal hari ini, Adun Chennah, Anthony Loke berkata dia telah menerima pertanyaan mengenai kestabilan kerajaan Negeri Sembilan susulan langkah yang dibuat oleh akar umbi PKR.

Loke, yang juga pengerusi DAP Negeri Sembilan, menegaskan masalah itu urusan dalaman PKR dan ditujukan kepada Aminuddin dalam kapasiti sebagai pengerusi PKR negeri dan bukan sebagai menteri besar.

Pakatan Harapan mempunyai 20 wakil rakyat daripada keseluruhan 36 anggota DUN.

Mereka terdiri daripada 11 wakil DAP, enam PKR dan tiga orang Amanah.