Zuraida alu-alukan jika Teresa Kok mahu terus sumbang idea
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi kini membuka pintu kepada bekas anggota kabinet Pakatan Harapan (PH) untuk menyumbang idea bagi meningkatkan keberkesanan strategi mereka.
Menterinya Zuraida Kamaruddin memberitahu ketika ini dia sudah mengambil kira beberapa cadangan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, untuk kementerian berkenaan.
Kata Zuraida ada antara cadangan dikemukakan Kok memang logik untuk dipertimbangkan bagi dilaksanakan semasa dia mengkaji semula beberapa agensi dan majlis di bawah kementerian terbabit.
"Jika YB Teresa ingin terus menyumbangkan pendapat beliau, saya amat mengalu-alukannya," kata Zuraida dalam kenyataan hari ini.
Untuk rekod Zuraida adalah ahli parlimen Ampang yang diberi tanggungjawab mengepalai Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bagi menggantikan Khairuddin Aman Razali yang diketepikan oleh Ismail Sabri Yaakob dalam susunan kabinetnya baru-baru ini.
Sebelum ini Zuraida mengetuai Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Kok pula merupakan menteri dalam kerajaan PH sebelum gabungan berkenaan dijatuhkan melalui Langkah Sheraton pada akhir Feb tahun lalu.
Menurut Zuraida lagi dia sedang memberi tumpuan kepada pelaksanaan strategi korporat kementeriannya bagi menghidupkan semula sektor perladangan, pertanian dan komoditi.
Katanya kementerian terbabit sedang mengatur strategi penyusun semula dan memperkemas agensi-agensi dalam sektor berkaitan supaya langkah berjimat dalam dilakukan.
Antara perkara utama kata Zuraida ialah untuk meningkatkat nilai produk komoditi hiliran dan menyelesaikan kempen antikomoditi, terutamanya dalam kalangan negara Kesatuan Eropah (EU) dan AS.
"Saya juga akan melaksanakan strategi korporat untuk memberdayakan ekonomi jangka panjang dengan mengambil kira kesan-kesan terhadap alam sekitar dan nilai hak asasi manusia.
"Melalui maklum balas daripada pihak berkepentingan dalam industri ini, saya akan membuat perubahan yang perlu untuk membantu meningkatkan pendapatan dalam sektor komoditi," katanya.
Turut menjadi perhatian kata Zuraida ialah memantau masalah kekurangan tenaga kerja dan kadar vaksinasi untuk semua pekerja yang terlibat dalam industri perladangan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai