Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Raja Bahrin persoal hotel kerajaan dibuka walau ada kes Covid-19

kemaskini KKM telah mengeluarkan notis penutupan Hotel Primula bermula 6.30 petang tadi sehingga 18 September depan.

Pengerusi Amanah Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad mendakwa berlaku jangkitan Covid-19 secara meluas dalam kalangan kakitangan Hotel Primula Beach di Kuala Terengganu namun ia masih menerima tetamu untuk menginap.

Justeru dia mempersoalkan mengapa tiada sebarang pengumuman awam secara meluas dibuat kepada orang ramai mengenai jangkitan Covid-19 membabitkan kakitangan hotel yang berlaku sejak beberapa hari lalu.

Kata Raja Kamarul Bahrin, hal itu sampai ke pengetahuannya selepas dia menerima aduan daripada pekerja hotel terbabit yang berasa bimbang dengan keadaan berkenaan.

Dalam satu notis Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dilihat Malaysiakini, bahagian dapur dan restoran hotel berkenaan diarahkan tutup dari 29 Ogos hingga 12 Sept.

Dakwa Raja Kamarul Bahrin, bukan bahagian itu sahaja yang sebenarnya terkesan, malah bahagian lain turut mencatatkan kes jangkitan kakitangan, seperti kaunter resepi, keselamatan, penyelenggaraan, dan pejabat.

“Jadi benda itu sudah merebak di seluruh hotel. Jadi macam mana hotel itu boleh beroperasi? Kalau seorang sahaja kena di sebuah jabatan, mungkin dia boleh tutup jabatan itu sahaja.

“Sudah seminggu (dari notis tutup dapur dan restoran), tetapi hotel masih beroperasi macam biasa. Ini hotel kerajaan negeri,” katanya kepada Malaysiakini semalam.

Mungkin merebak lebih meluas

Setakat ini, kata ahli Dewan Negara itu lagi, dia difahamkan kes jangkitan di situ mencecah kira-kira 30 orang dan jumlah itu hasil peningkatan jangkitan sejak beberapa hari lalu.

Dakwanya juga, ada juga ahli keluarga kakitangan yang turut dijangkiti virus berkenaan.

Seorang pekerja hotel yang tidak mahu dinamakan mengesahkan anggaran angka berkenaan kepada Malaysiakini ketika dihubungi semalam, dan memaklumkan masih ada lagi kes baru dicatatkan setakat semalam.

Operasi hotel yang masih dibenarkan berjalan seperti biasa itu dalam keadaan ramai pekerja yang dijangkiti, kata Raja Kamarul Bahrin, turut mendedahkan risiko jangkitan kepada tetamu yang menginap atau berkunjung ke hotel berkenaan.

Apa yang membimbangkan, katanya, hotel berkenaan turut menjadi tempat isolasi bagi pekerja luar pesisir sebuah syarikat minyak dan gas terkemuka tanah air.

Keadaan itu menurutnya menimbulkan kebimbangan jangkitan boleh merebak ke pelantar minyak luar pesisir, sekiranya mereka dijangkiti.

“Bayangkan jika seorang dijangkiti di hotel itu, dia pergi offshore, lagilah... satu platform akan kena,” katanya.

Lebih membimbangkan, katanya, kerajaan Terengganu secara rasmi membuka sektor hotel dan pelancongan buat orang tempatan secara rasmi mulai 1 Sept yang membuka ruang buat semakin ramai pengunjung menginap di hotel-hotel, termasuk di hotel tersebut.

“Memandangkan kerajaan negeri adalah pemilik Hotel Primula Beach, sikap lebih bertanggungjawab perlu diambil untuk melindungi orang ramai daripada risiko jangkitan Covid-19.

“Kami ingin bertanya kenapa pihak pengurusan hotel dan kerajaan negeri tidak lebih bertanggungjawab dan prihatin dengan memberi amaran secukupnya tentang situasi sebenar sebuah hotel utama milik kerajaan yang menjadi tumpuan orang ramai!” soalnya lagi.

Gambar hiasan

Untuk rekod, Primula Beach Hotel dimiliki sepenuhnya Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) di bawah kerajaan negeri.

Hasil semakan Malaysiakini di laman web penempahan hotel secara dalam talian, tempahan untuk hotel berkenaan masih dibuka tetapi bilik hotel dikatakan sudah penuh ditempah pada kebanyakan tarikh minggu hadapan.

Panggilan telefon ke meja hadapan Primula Beach Resort juga mengesahkan mereka masih menerima tetamu, asalkan tetamu membawa surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan pengesahan dua dos vaksin.

Bagaimanapun, Malaysiakini dimaklumkan bahawa hotel berkenaan hanya menyediakan perkhidmatan bilik menginap manakala perkhidmatan makanan tidak disediakan kerana restoran mereka tidak beroperasi buat sementara waktu.

Malaysiakini sudah menghubungi Pengurus Besar Primula Beach Hotel, Suaibah Harun, untuk mendapatkan pengesahan dan maklum balas, tetapi diminta untuk menghubungi Terengganu Inc untuk mendapatkan kenyataan.

Usaha menghubungi Terengganu Inc bagaimanapun belum berhasil.

Malaysiakini juga sudah cuba menghubungi Pengerusi Primula Beach Hotel, Mustafa Ali dan Pengerusi Terengganu Inc yang juga Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar dan sedang menunggu maklum balas mereka.

Dalam perkembangan terkini, KKM telah mengeluarkan notis penutupan Hotel Primula bermula 6.30 petang tadi sehingga 18 September depan.