Muhyiddin hargai kepercayaan k'jaan lantik dirinya pengerusi MPN
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang baru dilantik Muhyiddin Yassin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana mempercayai dirinya untuk meneruskan usaha pemulihan Covid-19 sebelum ini.
Katanya, MPN akan membantu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan melalui fasa pemulihan seperti yang digariskan bawah Majlis Pemulihan Negara (MPN).
"Saya berbesar hati menerima pelantikan ini dan akan menjalankan tugas secara sukarela tanpa apa-apa imbuhan.
"Kepercayaan yang telah diberikan oleh kerajaan ini merupakan suatu amanah untuk saya meneruskan segala usaha dan perancangan yang telah dimulakan sebelum ini untuk memulihkan negara daripada kesan wabak COVID-19.
"Saya dan anggota Majlis Pemulihan Negara akan berperanan membantu Perdana Menteri (Ismail Sabri Yaakob) dan kerajaan pimpinan beliau membawa Malaysia melalui fasa-fasa pemulihan sepertimana yang telah digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara," katanya pada hantaran di Facebook malam ini.
Muhyiddin menjelaskan hal ini selaras dengan peralihan pengurusan Covid-19 yang akan memasuki fasa endemik.
"Insya-Allah, saya akan memanfaatkan segala pengalaman yang ada dan mengharapkan sokongan semua pihak dalam semangat Keluarga Malaysia bagi memastikan matlamat melindungi nyawa, menjamin kelangsungan hidup dan memulihkan negara akan mencapai kejayaan," katanya lagi.
Pengkritik mempersoalkan pelantikan Muhyiddin sebagai pengerusi MPN, jawatan bertaraf menteri itu.
Ini kerana Muhyiddin digulingkan sebagai perdana menteri kerana dakwaan kegagalannya menangani pandemik Covid-19.
Pentadbiran Muhyiddin memperkenalkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) bertujuan untuk membuka kembali sektor secara bertahap ketika keadaan pandemik semakin pulih berdasarkan tiga kriteria - jumlah kes harian, kapasiti hospital dan kadar vaksinasi.
Kerajaan PN pula mempertahankan pelan ini, menegaskan PPN sebagai "dinamik."
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai