Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KPI 100 hari: KKM pulihkan operasi bukan Covid kembali jadi normal

Meskipun Covid-19 terus menjadi fokus utama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), menteri kesihatan yang baru Khairy Jamaluddin merancang untuk mengembalikan semula lain-lain operasi tidak berkaitan Covid-19 pulih seperti sediakala.

Menjadikan hal itu sebagai matlamat 100 hari dia menerajui KKM, menteri itu berkata usaha sedang dijalankan untuk melunaskan timbunan tunggakan prosedur kesihatan apabila sebahagian perkhidmatan terpaksa ditangguhkan atau dikurangkan gara-gara pandemik Covid-19 melanda negara tahun lalu.

Ini termasuklah pembedahan am elektif dan perkhidmatan pergigian.

“Kami akan pastikan tunggakan pembedahan am elektif, yang ditangguhkan gara-gara Covid-19, akan dikurangkan sebanyak 20 peratus. Ini akan dilakukan dalam masa 100 hari (perkhidmatan saya).

“Ini akan dilakukan dengan menggunakan khidmat hospital swasta untuk pembedahan elektif.

“Untuk pergigian, kami akan tingkatkan kapasiti prosedur yang terpaksa ditangguhkan kerana (prosedur itu) menghasilkan aerosol, seperti menampal gigi dan penskaleran (scaling).

“Kami akan pastikan 70 peratus daripada klinik pergigian kita kembali (menjalankan) semua perkhidmatan pergigian mereka yang harus kami tangguhkan kerana pandemik.

“Inilah yang kami sedang lakukan dalam mengembalikan sektor kesihatan kita kembali normal selepas Covid-19,” kata Khairy dalam temu bual khas pada Jumaat.

Sesi itu diadakan bagi mengumumkan senarai petunjuk prestasi utama (KPI) yang harus dicapainya sebagai menteri dalam masa 100 hari pertama dia memimpin kementerian barunya itu.

Semua ahli kabinet diberikan masa 100 hari oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk membuktikan pencapaian mereka dalam menggalas tanggungjawab.

Tempoh 100 hari itu dikira bermula Isnin selepas mereka mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong, dan dijangka tamat pada 8 Disember.

Sejak wabak Covid-19 melanda Malaysia pada Januari tahun lalu, KKM terpaksa mengalihkan tumpuan mereka ke arah menangani wabak berkenaan.

Memandangkan kes terus meningkat, terutamanya semasa beberapa siri lonjakan yang bermula Mei, KKM terpaksa menyalurkan banyak sumber tenaga manusia dan kelengkapan, bahkan dalam beberapa kes, menutup hospital demi menjadikannya fasiliti Covid-19 sepenuhnya.

Kesihatan mental

Khairy turut membangkitkan isu kesihatan mental, berkata tahap kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia masih lagi rendah.

KKM mendapati bahawa terdapat ramai orang yang tidak pun sedar bahawa wujudnya perkhidmatan kesihatan mental, termasuk talian bantuan (helplines) yang boleh dihubungi mereka.

“Saya akan pastikan yang kami mempunyai satu kempen supaya rakyat Malaysia tahu bahawa perkhidmatan kesihatan mental itu ada tersedia.

“Saya turut meminta agar kapasiti bantuan psikososial ditingkatkan sebanyak 10 peratus untuk menangani panggilan telefon dengan rujukan buat perkhidmatan psikososial."

KKM turut akan melantik 20 lagi NGO, jelasnya sebagai tambahan kepada 20 yang sedia ada, untuk berganding bahu dalam mendidik dan membantu rakyat dengan kesihatan mental.

Menurut Khairy, KKM turut menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti perkhidmatan telerundingan buat pesakit bukan Covid-19 sebanyak 30 peratus. Ini juga harus dicapai dalam masa 100 hari. 

[Baca laporan asal]