Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Wanita ketua ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir direman 4 hari

Polis menahan seorang wanita yang merupakan ketua ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) di kediamannya di Shah Alam, awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields Supt Basri Sagoni berkata wanita berusia 39 tahun itu ditahan kira-kira 1.10 pagi dan pihaknya turut merampas lima telefon bimbit pelbagai jenama, sekeping kad bank, resit pemindahan wang ke akaun bank tempatan sebanyak RM84,721 dan sepasang telekung putih.

Menurutnya suspek sebelum ini ada membuat laporan polis bagi menyatakan tidak pernah mewujudkan kumpulan ajaran sesat atau bertentangan dengan ajaran Islam serta menafikan semua tuduhan termasuk tindakan yang boleh mengancam keselamatan negara.

"Suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga 7 Sept ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, tular dalam media sosial seorang wanita dengan gelaran Sittah Annur dikaitkan dengan ajaran sesat PMYT mendakwa kononnya akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah dan memimpin pasukannya mencari Imam Mahdi untuk melawan musuh.

Wanita terbabit juga mendakwa dirinya mempunyai keistimewaan dan berupaya membuat ramalan berkaitan apa yang akan berlaku pada masa depan.

Basri berkata setakat ini polis menerima enam laporan berhubung isu sama yang dibuat di lima balai polis berasingan.

Dia turut menasihatkan orang ramai untuk tidak menimbulkan sebarang spekulasi berkaitan kes ini.

-Bernama