Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Speaker: Cadangan transformasi parlimen akan digerakkan secepat mungkin

Cadangan transformasi parlimen akan digerakkan secepat mungkin sebelum dibawa ke Kabinet, menurut Yang di-Pertua Dewan Negara, Azhar Harun dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Rais Yatim.

Perkara itu dinyatakan dalam satu kenyataan bersama, susulan pertemuan mereka dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar semalam.

Pertemuan itu bagi membincangkan soal pembaharuan parlimen untuk menjadikannya badan bebas daripada kuasa eksekutif.

“Cadangan kepada langkah transformasi Parlimen ini adalah hak Parlimen dan akan digerakkan secepat mungkin sebelum diangkat kepada Kabinet untuk dinilai dan diluluskan.

“Sesungguhnya, kami kedua-dua Yang di-Pertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat amat menyambut baik dan akan memberikan sokongan padu langkah transformasi dan reformasi Parlimen yang akan diusahakan.

“... (Ia) sebagai manifestasi kecaknaan untuk mendaulatkan demokrasi berparlimen dan prinsip pengasingan kuasa antara legislatif, eksekutif dan perundangan negara dapat berfungsi dengan sebenarnya dan terus kekal terpelihara.

“Sehubungan itu, kami bertiga akan terus berlibat urus dari semasa ke semasa untuk tujuan tersebut,” kata mereka dalam kenyataan bersama hari ini.

Terdahulu, Wan Junaidi menyatakan komitmen untuk memodenkan sistem parlimen dengan menyingkirkan undang-undang dan peraturan pramerdeka, dan satu jawatankuasa bersama dengan pihak Parlimen akan dibentuk bagi memastikan pembaharuan dapat dilaksanakan segera.

Tiga perkara utama yang dibangkitkan dalam pertemuan mereka adalah berkenaan menghidupkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA) bagi membolehkan Parlimen menguruskan pentadbiran dan kewangan sendiri, berbanding sekarang yang berada di bawah bidang kuasa eksekutif.

Turut dicadangkan, pembaharuan bagi menggantikan atau meminda akta dan peraturan yang digambarkan sudah ketinggalan zaman, seperti Akta Hak Istimewa & Kuasa Parlimen 1952, serta perintah dan peraturan tetap untuk kedua-dua dewan di Parlimen.

Azhar dan Rais berkata lagi, tumpuan terhadap agenda penambahbaikan itu adalah pindaan kepada Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347) serta mewujudkan semula PSA yang dimansuhkan pada 1992.

“[...] (Ini) bagi memastikan konsep pengasingan kuasa benar-benar dihayati, dihormati dan diamalkan agar kewibawaan Parlimen selaku badan legislatif tertinggi negara diperkasakan.

“Selari dengan pelan transformasi ini juga, Peraturan Mesyuarat bagi kedua-dua iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat akan ditambah baik, meliputi aspek perjalanan mesyuarat, disiplin ahli serta bagi memperkuatkan jawatankuasa- jawatankuasa pilihan yang telah dan bakal dibentuk,” kata mereka lagi.