Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KJ: Harga kit ujian kendiri Covid-19 muktamad, rakyat didahulukan

Keputusan kerajaan untuk menetapkan harga runcit kawalan bagi kit ujian kendiri Covid-19 pada RM19.90, berkuat kuasa Ahad ini, adalah muktamad, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Bercakap kepada pemberita hari ini, Khairy berkata bahawa dia menyedari mengenai rungutan yang dibangkitkan oleh pembekal dan peruncit kit ujian tersebut, tetapi kerajaan telah membuat keputusan untuk memihak kepada pengguna.

“Saya sedar tetapi kita harus cari titik keseimbangan antara pembekal, penjual dengan rakyat.

“Kalau nak bagi tempoh sebulan untuk mereka menghabiskan stok, sudah tentu yang akan terkesan adalah rakyat (yang) terpaksa bayar RM40 (untuk setiap kit ujian).

“Kita terpaksa membuat keputusan,” katanya.

Semalam, Khairy dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi mengumumkan kerajaan telah menetapkan harga maksimum bagi kit ujian kendiri Covid-19.

Harga siling yang telah ditetapkan adalah pada RM19.90 untuk jualan runcit dan RM16 untuk pembelian secara borong.

“Saya dan Alex Linggi memihak pada pengguna yang minta supaya test kit dapat turun harga dan diletakan harga siling secepat mungkin.

“Jadi, kita terpaksa lakukannya. Keputusan adalah muktamad,” katanya.

Susulan itu, Persatuan Ahli Farmasi Malaysia (MPS) hari ini mendakwa had harga yang ditetapkan oleh kerajaan adalah terlalu curam dan terlalu mendadak.

MPS mendakwa ahli persatuan itu telah membayar antara RM22 hingga RM32 setiap kotak ketika membeli dari pembekal.

Sementara itu, ketika ditanya apakah kerajaan mempunyai rancangan untuk juga menetapkan batas maksimum untuk ujian RTK Antigen dan RT-PCR Covid-19,Khairy berkatabahawa KKM akan mempertimbangkannya.

"Biar kita kaji dahulu,” katanya.