'Selangor harus batalkan penyahwartaan hutan simpan, bukan tangguh'
NGO alam sekitar Sahabat Alam Malaysia (SAM) mendesak kerajaan Selangor untuk membatalkan keputusan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat (Utara).
Jelas mereka, memandangkan keputusan penyahwartaan itu sudah dibuat secara rasmi, mereka melihat sebarang "penangguhan" adalah mustahil.
Bercakap dengan Malaysiakini, penasihat undang-undang SAM A Theivanai menyatakan bahawa penyahwartaan itu sudah diterbitkan, yang menandakan proses penyahwartaan sudah lengkap.
"Saya tidak tahu apa maksudnya dengan penagguhan.
"Kerana setelah warta keluar, kerajaan negeri dapat membatalkannya dengan mengeluarkan warta lain yang membatalkan warta tertentu," katanya.
Pada 12 Ogos, kerajaan negeri menerbitkan warta yang menyatakan bahawa sekitar 536.7 hektar hutan simpan Kuala Langat (Utara) bukan lagi tanah hutan simpan kekal.
Berjudul "Pengeluaran kawasan tanah daripada hutan simpan kekal" notis itu bertarikh 4 Ogos dan ditandatangani oleh kerani kabinet negeri, Mohd Khairul Ashraff Radzali.
Penyahwartaan itu berdasarkan Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985.
Penerbitan yang sama juga merumuskan rancangan kerajaan negeri untuk mengganti kawasan dinyah warta dengan empat hutan simpan baru - Hutan Simpan Buloh Telor Barat (308.62ha), Hutan Simpan Buloh Telor Timur (57.18ha), Hutan Simpan Sungai Panjang (149.96ha) dan Hutan Simpan Bukit Broga (63.88ha).
Ini didasarkan pada keputusan kabinet negeri pada 5 Mei, di mana ia juga bersetuju bahawa syarikat swasta Gabungan Indah Sdn Bhd akan diberi tanah yang dinyah warta untuk projek pembangunan campuran.
Keputusan ini hanya disampaikan kepada dewan perundangan negeri Selangor pada 30 Ogos berikutan pertanyaan dari ahli parlimen.
Susulan kritikan yang meluas, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dipanggil oleh partinya untuk menjelaskan mengenai penyahwartaan tersebut.
Menurut pengarah komunikasi PKR Fahmi Fadzil, menteri besar bersetuju untuk "menangguhkan" penyahwartaan itu.
Amirudin bagaimanapun belum tampil untuk mengesahkan perkara itu.
Amirudin kini telah diberi mandat oleh Pakatan Harapan Selangor untuk membawa perkara itu ke mesyuarat kabinet negeri Rabu depan (8 Sept) untuk perbincangan lebih lanjut.
Theivanai, seorang peguam, menegaskan bahawa penyahwartaan itu dapat dibatalkan melalui keputusan kabinet negeri.
"Kerajaan negeri dapat membatalkan keputusan sebelumnya untuk penyahwartaan dengan cara yang sama ketika membuat keputusan untuk menyahwartakan hutan simpan.
"Kemudian negari dapat membuat pengumuman secara terbuka melalui warta. Setahu saya, mereka dapat menggunakan kuasa mereka untuk melakukan ini,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai