Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Isu nyah warta HSKLU: Abim gesa kurangkan kuasa MB S’gor

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa supaya kuasa menteri besar Selangor dalam membuat keputusan berkenaan status hutan simpan serta perkara membabitkan isu perubahan iklim dan alam sekitar dikurangkan.

Mengulas kontroversi penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) baru-baru ini, Presiden Abim, Muhammad Faisal Abdul Aziz sebaliknya berkata bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) seharusnya diberikan kuasa sepenuhnya dalam hal tersebut.

"Abim menegaskan dalam membuat keputusan berkaitan Hutan Simpan Kekal serta menyentuh isu alam sekitar dan perubahan iklim, ia harus dibuat menerusi mandat dari Dewan Undangan Negeri terlebih dahulu sebagai mekanisme kebertanggungjawaban kerajaan terhadap rakyat.

"Justeru, pindaan undang-undang dan polisi perlu dibuat segera supaya pemusatan kuasa kepada menteri besar dapat dikurangkan dalam membuat keputusan berkenaan status hutan simpan serta perkara melibatkan isu perubahan iklim dan alam sekitar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Faisal Abdul Aziz, Presiden Abim

Penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara yang dibuat pada Mei lalu didedahkan oleh Exco Selangor, Hee Loy Sian ketika sesi soal jawab sidang DUN Selangor pada 30 Ogos.

Pendedahan itu menimbulkan kritikan bukan sahaja daripada NGO alam sekitar, malah turut mendapat bantahan daripada Adun-adun Pakatan Harapan (PH) di Selangor.

"Pada 31 Mac 2021, Abim telah membuat kunjungan ke kawasan HSKLU untuk tujuan mendapatkan maklumat terperinci tentang kesan langsung terhadap isu perubahan iklim serta mendengar luahan dari penduduk yang terkesan.

"Penyahwartaan status Hutan Simpan Kekal tersebut perlu ditarik semula atas faktor kelangsungan alam serta masa depan generasi akan datang, lebih-lebih lagi ia mendapat bantahan majoriti penduduk di kawasan berkenaan khususnya orang asli menerusi Gabungan Pertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (PHSKLU).

"Pembukaan kawasan hutan tersebut akan memburukkan lagi krisis iklim terutamanya dalam meningkatkan jumlah karbon dalam negara," kata Muhammad Faisal.

Abim juga telah melancarkan kempen petisyen Hentikan Pembalakan dan Kemusnahan Alam atas talian https://www.change.org/HentiBalak sejak 19 Ogos 2021 yang lalu dan telah berjaya mengumpulkan lebih 185 ribu tandatangan.

Penyahwartaan itu dibuat setelah keputusan dicapai pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 5 Mei lepas yang disahkan oleh MMKN ke-18 pada 19 Mei, membabitkan 536.70 hektar kawasan di bawah Seksyen 12, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985.

Pada bulan Mac tahun lalu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari memaklumkan dua syarikat telah mencadangkan untuk membangunkan kawasan Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Utara, iaitu Titian Jutaria Sdn Bhd dan Menteri Besar Incorporated Selangor (MBI Selangor).

Bagaimanapun, dia kemudiannya dilaporkan telah bersetuju untuk menangguhkan proses penyahwartaan HSKLU hingga selesai mempertimbang dan menjelaskan semua isu yang dibangkitkan.