Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Individu terlibat ajaran sesat 'Perjalanan Mimpi Yang Terakhir' dikenal pasti

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti individu yang terlibat dengan ajaran sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) dan sedang melakukan siasatan lengkap terhadap perkara itu, kata Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani.

Acryl Sani berkata PDRM kini sedang dalam perancangan untuk memanggil individu tertentu bagi membantu siasatan dan sedang memantau ketat ajaran tersebut selain memastikan perkara itu tidak akan menyebabkan kegusaran awam.

Katanya perkara itu pada masa kini dilihat masih dalam kawalan dan PDRM tidak boleh terburu-buru dalam melakukan siasatan kerana perlu mengumpul maklumat lengkap serta siasatan juga melibatkan jabatan lain antaranya jabatan berkaitan agama Islam.

"Kita ada cara, teknik dan kaedah tertentu untuk menghadapi perkara ini, dahulu kita pun hadapi perkara sama seperti ini dan kita dapat selesaikan dengan baik…polis tidak pernah leka dan sentiasa memantau perkara ini.

"Kalau kita lihat sejarahnya ini bukan perkara baru, sebelum ini kita juga pernah berdepan dengan perkara seperti ini dan kita atasi daripada semasa ke semasa," katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pesuruhjaya Polis Sabah di Kota Kinabalu hari ini.

Pada majlis itu Hazani Ghazali, yang dilantik Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman berkuat kuasa Isnin depan, menyerahkan tugas kepada Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu iaitu Idris Abdullah.

Majlis sama turut menyaksikan Acryl Sani memakaikan pangkat Komisioner Polis (CP) kepada Idris yang sebelum ini merupakan Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan Perjawatan), Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Tular di media sosial baru-baru ini seorang wanita dengan gelaran Sittah Annur dikaitkan dengan ajaran sesat PMYT mendakwa kononnya akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah dan memimpin pasukannya bagi mencari imam Mahdi untuk melawan musuh.

Sementara itu, Acryl Sani berkata PDRM memfokuskan untuk menggunakan teknologi tinggi bagi aktiviti penguatkuasaan terutama melibatkan kawalan sempadan dalam memastikan tugas itu dapat dilaksana secara lebih berkesan khususnya di kawasan pantai timur Sabah.

"Ini termasuk penggunaan dron, 'night vision', kapal serta kenderaan darat teknologi tinggi bagi kawalan sempadan lebih berkesan...ancaman sentiasa wujud, justeru penting buat PDRM kekalkan kesiapsiagaan dengan kekalkan aset termasuk sumber manusia kemudian tingkatkan dari semasa ke semasa," katanya.

Dalam pada itu, pada sidang media sama Hazani mengesahkan pada masa kini tiada pengikut ajaran sesat PMYT dikesan di Sabah dan gerakan itu menurutnya banyak bertumpu di Semenanjung.

"Kena fahamkan dakwaan terdapat 3,000 pengikut ajaran ini, (jumlah) ini merupakan mereka yang mengikuti atau 'follower' individu itu di media sosial seperti Facebook juga WhatsApp, ada beza dengan mereka yang betul-betul terlibat dengan ajaran itu," katanya.

-Bernama