PM mahu jalan selamat dengan kosongkan jawatan TPM, kata pemerhati
Keputusan Ismail Sabri Yaakob menghidupkan semula langkah Muhyiddin Yassin yang tidak melantik timbalan perdana menteri dilihat sebagai langkah baik jangka panjang untuk kerajaan.
Menjelaskan langkah Ismail Sabri itu, beberapa penganalisis politik berpendapat ia adalah tindakan tepat dan sesuai dengan keadaan semasa politik yang masih tidak menentu.
Prof Dr Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), berkata adalah lebih baik untuk ahli parlimen Bera itu menangguhkan lantikan timbalan perdana menteri sehingga kehangatan politik reda.
"Ismail Sabri mungkin belajar daripada sejarah lampau. Semasa Muhyiddin menjadi perdana menteri, jawatan timbalan menimbulkan banyak masalah.
"Lebih-lebih lagi apabila jawatan timbalan perdana menteri tidak memberi tambah nilai kepada kerajaan baru. Ada tak apa, tak ada pun tak apa," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Asalnya semasa kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan, Muhyiddin tidak melantik sesiapa menjadi timbalan perdana menteri sebaliknya memberikan jawatan menteri kanan kepada empat ahli parlimen termasuk Ismail Sabri.
Naib Presiden Umno itu kemudian diangkat sebagai sebagai timbalan Muhyiddin hanya pada 7 Julai ketika PN berdepan dengan tekanan daripada Umno.
Lantik ketika masa sesuai
Ismail Sabri dianggap cukup bertuah kerana kemudian 'naik pangkat' menjadi perdana menteri hanya selepas lebih sebulan menjadi timbalan perdana menteri.
Selepas menggantikan Muhyiddin, Ismail Sabri mengekalkan struktur yang pernah dibina presiden Bersatu itu dengan melantik empat menteri kanan.
Azmi berkata ketika ini memang Bersatu memiliki beberapa pemimpin yang menonjol dan boleh dijadikan timbalan Ismail Sabri namun ia akan meletakkan perdana menteri dalam masalah walau siapa pun yang dipilihnya.
"Justeru lebih baik kosongkan jawatan itu buat waktu ini dan boleh dilantik pada waktu sesuai nanti," katanya.
Sementara itu, penganalisis politik Anbumani Balan berkata Ismail Sabri cuba 'bermain selamat' dengan langkah tersebut ketika Bersatu memiliki pemimpin kanan yang dilihat berpotensi dilantik sebagai timbalan perdana menteri.
"Bagi saya, Ismail cuba bermain permainan selamat," katanya.
Menurut Anbumani nama seperti Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin dan bekas timbalan presiden PKR yang kini menjadi Ketua Penerangan PN Azmin Ali adalah nama yang dilihat boleh dilantik.
"(Ismail Sabri) tunggu kerajaan berstabil dulu. Kemudian akan lantik seorang," katanya.
Sebelum ini terdapat desas-desus bahawa persaingan untuk kerusi nombor dua memang bermula dalam parti Bersatu sesuai dengan kedudukan parti berkenaan yang memberikan sokongan kepada Ismail Sabri.
Kabinet Muhyiddin 2.0
Selain Hamzah dan Azmin, nama lain yang disebut-sebut ialah anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Redzuan Md Yusof.
Redzuan merupakan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri yang digugurkan daripada kabinet oleh Ismail Sabri.
Kata Anbumani Azmin mempunyai peluang lebih cerah untuk dilantik sebagai timbalan perdana menteri pada masa depan sesuai dengan kedudukannya yang didukung ramai ahli parlimen Bersatu.
"Dia calon king maker. Mungkin Azmin akan mengukuhkan lagi kedudukannya dalam tempoh hubungan tegang di antara Bersatu dan Umno sekarang," katanya.
Pada masa sama Anbumani lagi, dia berpendapat susunan kabinet Ismail Sabri kini diwujudkan melalui 'tangan ghaib' yang berpunca dari pimpinan tertinggi Bersatu.
"Kabinet baru ini adalah kabinet Muhyiddin 2.0," katanya.
Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, berpandangan kemungkinan besar Ismail Sabri memang tidak akan melantik timbalan perdana menteri kerana ia lebih baik untuknya.
"Adalah lebih baik tidak ada lantikan. Kekalkan menteri kanan dan kekal seperti sebelum ini kerana saya percaya akan ada polemik dalaman sekiranya ada lantikan timbalan perdana menteri.
"Sebelum ini Umno diberi jawatan timbalan perdana menteri tapi dah terlambat.
"Maka tiada timbalan perdana menteri tidak akan menjadi isu," katanya.
Mohd Azizuddin turut meramalkan Bersatu dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan bertembung untuk jawatan timbalan perdana menteri sekiranya Ismail Sabri berhasrat mengisi jawatan berkenaan.
"Memang Bersatu ada buat tuntutan, GPS pun nak juga. Jadi ia tidak baik untuk polemik dalaman kerajaan," katanya.
Cuba 'bermain' dengan selamat
Sebelum ini, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) meminta kerajaan persekutuan untuk mewujudkan jawatan timbalan perdana menteri kedua (TPM II) untuk diisi oleh seorang ahli parlimen GPS.
Setiausaha Agung SUPP berpendapat satu lagi jawatan untuk timbalan perdana menteri wajar diadakan dan dikhaskan untuk Sarawak dan Sabah sesuai dengan kedudukan mereka sebagai rakan kongsi yang setara di Malaysia.
Timbalan Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan, berpandangan Ismail Sabri sebenarnya tidak berani melantik timbalan perdana menteri kerana kedudukannya sangat tidak selamat.
Katanya dengan kedudukan sebagai perdana menteri yang rapuh Ismail Sabri mahu mengelakkan sebarang perebutan kuasa.
"Bermain selamat nampaknya satu-satunya alasan mengapa Ismail Sabri tidak melantik timbalannya. Dia melihat kabinetnya tidak boleh menyerlah.
"Walaupun begitu, dia belajar daripada Muhyiddin yang tidak melantik timbalan atas faktor yang sama ketika dia menjadi perdana menteri tahun lalu," katanya.
Tambah Arutchelvan, selama ini jawatan perdana menteri dan timbalan perdana menteri diisi oleh pemimpin dari parti yang sama sehinggalah Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU pada 2018.
Apabila PH mendapat majoriti di parlimen pengerusi Bersatu ketika itu, Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai perdana menteri manakala Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi timbalannya.
Mahathir kini menjadi pengerusi Parti Pejuang Tanah Air.
Kata Arutchelvan semasa BN berkuasa kedua-dua jawatan berkenaan diisi oleh pemimpin Umno walaupun ketika wujud ketegangan hubungan di antara pemimpinnya.
"Umno juga selalu menolak pelantikan ahli parlimen bukan Melayu menjadi timbalan perdana menteri," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai