Doktor kontrak: Asal-usul dan cara menangani
WAWANCARA | Sistem penjawatan doktor kontrak diperkenalkan pentadbiran BN pada Dis 2016. Ketika itu kerajaan berada di bawah kepimpinan Najib Razak.
Lima tahun kemudian, apa yang dimaksudkan sebagai langkah sementara itu berkembang menjadi salah satu kontroversi terbesar dalam sistem penjagaan kesihatan awam negara.
Dr S Subramaniam merupakan menteri kesihatan yang berkhidmat dalam kerajaan Malaysia antara 2013 hingga 2018 dan dia bertanggungjawab dalam pelaksanaan sistem tersebut.
Dalam wawancara dengan Malaysiakini baru-baru ini, dia menjelaskan alasan awal di sebalik langkah tersebut.
Dan dengan kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN), dia turut menawarkan kepada menteri kesihatan baru Khairy Jamaluddin beberapa cadangan dalam menyelesaikan isu yang membelenggu doktor kontrak.
Menurut Subramaniam, sistem penjawatan doktor kontrak sebelum ini diperkenalkan ketika jumlah pelajar perubatan yang menunggu penempatan latihan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berada pada tahap tinggi.
Katanya ia berpunca daripada masalah perancangan sejak 1990-an. Pada masa itu, sekolah perubatan baru mendapat kelulusan tanpa mengambil kira bagaimana pelajar akan dilatih.
Akibatnya, kata Subramaniam, lebih 33 institusi - 11 institusi awam dan 22 institusi swasta - diwujudkan di seluruh negara dan mula memperoleh lebih banyak graduan daripada sistem kesihatan awam yang mempunyai jawatan doktor kontrak.
Memang dulu ada keperluan
Menjelang 2016, terdapat pengangguran yang serius. Sebagai menteri kesihatan ketika itu, Subramaniam berkata, lambakan graduan perubatan terbabit perlu ditangani segera.
"Terdapat lambakan dan ia semakin bertambah. Jadi satu-satunya cara KKM dapat menyelesaikannya ialah dengan mencari jalan untuk menyediakan lebih banyak jawatan.
"Jawatan kontrak boleh dibuat berdasarkan permintaan tanpa perlu melalui proses (Jabatan Perkhidmatan Awam atau JPA) itu.
"Oleh itu, jawatan kontrak dibuat untuk memastikan sebilangan besar doktor yang masuk ke sistem dapat menjalani latihan wajib," katanya.
Sistem penjawatan doktor kontrak kata Subramaniam, menjadi "keperluan" pada waktu itu dan ia diwujudkan sebagai langkah penyelamat bersifat sementara iaitu hingga penyelesaian jangka panjang dilaksanakan.
"Pada dasarnya, itu tidak dimaksudkan untuk menjadi sistem tetap," kata Subramaniam.
Oleh itu, bagaimana penyelesaian sementara itu berubah menjadi masalah yang tersendiri?
Subramaniam menegaskannya pada "kelemahan pelaksanaan".
Dia mendakwa bahawa perbezaan gaji, kelayakan untuk program latihan pascasiswazah tempatan dan proses pengambilan pekerja bukanlah matoamat sistem itu dilaksanakan. Malah, tegas Subramaniam, ia tidak ada dalam perancangan asal.
"Diskriminasi sebegitu tidak pernah (ada dalam perancangan awal). Walaupun kami memperkenalkan sistem terbabit dan polisi dilaksanakan, namun mereka kemudian mengambil haluan berbeza.
"Selama tempoh pelaksanaan, kadang-kadang ada kelemahan," katanya.
Dalam pekeliling bertarikh 15 Dis 2016 yang mengumumkan sistem penjawatan doktor kontrak, KKM menyatakan, pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak akan menerima "emolumen yang sama" sebagai pegawai tetap.
Kurang kriteria yang telus
Jawatan tetap akan ditawarkan secara undur tarikh (backdated) kepada "yang berbakat" dan dapat menyelesaikan latihan mereka serta memenuhi semua kriteria, dengan syarat jawatan tersebut tersedia.
Pekeliling tersebut tidak menyatakan bagaimana jika pegawai kontrak layak untuk mengikuti pengajian pascasiswazah tempatan tetapi menyatakan sistem pengambilan pekerja tetap yang lama adalah untuk memastikan "yang berbakat atau pegawai terbaik yang berpotensi untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat pakar".
Bagaimanapun, dalam praktiknya, pegawai kontrak pada mulanya dibayar lebih sedikit daripada jawatan tetap. Jurang itu dirapatkan pada Nov 2020.
Mereka juga tidak layak mendapat biasiswa pascasiswazah tempatan untuk menjadi pakar.
Tambahan pula, tiada jaminan mereka akan diserap ke jawatan tetap setelah kontrak lima tahun berakhir. Ia disebabkan kurangnya kriteria yang telus untuk menentukan lulusan mana mendapat jawatan tetap atau kontrak.
Oleh kerana ramai pegawai kontrak mengalami kelecuhan setelah ditugaskan menjadi petugas barisan depan dalam menangani pandemik Covid-19, doktor-doktor muda terbabit mencari jalan keluar dengan menuntut agar sistem dwistandard itu dihentikan.
Mereka menganggap tawaran kerajaan Perikatan Nasional (PN) - yang merangkumi lanjutan kontrak selama empat tahun, faedah pekerjaan yang lebih baik dan biasiswa pengajian pascasiswazah - tidak memadai.
Kumpulan doktor kontrak itu menegaskan, mereka mahukan jawatan tetap dan peluang yang sama untuk melanjutkan pelajaran.
KKM baru-baru ini memaklumkan 300 daripada kira-kira 23,000 pegawai perubatan kontrak ditawarkan lantikan tetap tetapi satu per tiga mereka menolaknya.
Menurut Ketua Setiausaha KKM Mohd Shafiq Abdullah 85 orang yang ditawarkan menolaknya manakala 15 lagi meletakkan jawatan setelah mendapat tawaran pekerjaan di tempat lain.
Cenderung kekalkan yang lama
Menurutnya lagi, daripada 300 tawaran yang diberikan, 150 pegawai ditawarkan pelantikan tetap di Sabah manakala 150 pegawai lagi ditawarkan pelantikan tetap di Sarawak.
Kini terdapat harapan yang tinggi untuk menteri kesihatan baru menyelesaikan masalah yang dihadapi bidang perubatan negara ini sejak sekian lama.
Dalam temu bual itu, Subramaniam berkata dia pernah berusaha mengatasi masalah berkenaan lebih awal dengan menguruskan isu lebihan lulusan perubatan namun usaha itu gagal.
Sebagai bekas menteri kesihatan, Subramaniam berkata dia telah mencadangkan agar syarat minimum lulusan SPM untuk memasuki sekolah perubatan dinaikkan dari 5B kepada 5A.
"Syarat minimum kita untuk memasuki sekolah perubatan masih 5B dan ini diguna pakai sejak 20 hingga 30 tahun lalu. Keadaannya sekarang berbeza kerana 30,000 hingga 40,000 orang mendapat markah 5A dalam SPM mereka.
"Kita perlukan 3,000 orang untuk masuk ke sekolah perubatan dan ada banyak orang untuk dipilih. Mengapa kita tidak naikkan syarat minimum menjadi 5A? " katanya.
Berikutan polemik yang panas mengenainya, Subramaniam mendakwa, Kementerian Pendidikan Tinggi menolak idea tersebut dan cenderung untuk mengekalkan syarat minimum lama.
Ditanya adakah kuota perkauman menjadi alasan mengapa keadaan status quo itu berterusan, Subramaniam enggan mengulas.
"Mereka memang tidak mahu melakukan (perubahan). Oleh itu, sekarang kita hadapi masalah ini.
"Maka semua yang tidak dapat masuk ke sekolah perubatan awam dapat masuk ke sekolah perubatan swasta. Dalam pendidikan perubatan swasta, (anda boleh masuk) selagi anda mencapai kelulusan minimum 5B.
"Lebih daripada itu, ia bergantung kepada siapa yang mampu dan siapa yang tidak mampu," katanya.
Dalam keadaan semasa sekarang, Subramaniam mencadangkan kerajaan mengambil penyelesaian serampang dua mata.
Pertama katanya memperbaiki sistem penjawatan kontrak untuk memastikan ia adil. Hal itu termasuk peluang pegawai kontrak yang sama untuk melanjutkan pengajian pakar di universiti tempatan.
"Ini dapat diselesaikan dengan melanjutkan kontrak mereka untuk jangka waktu yang cukup dengan doktor terbabit dapat memberikan beberapa pengkhususan yang mungkin dilakukan dalam sistem itu sendiri," katanya.
Seimbangkan tawaran, permintaan
Subramaniam juga turut mencadangkan kerajaan meningkatkan jumlah jawatan tetap untuk doktor kontrak sedia ada dan melaksanakan proses pengambilan pekerja secara tetap.
Seterusnya, kata bekas presiden MIC itu, ialah memberikan keseimbangan di antara tawaran dan permintaan pegawai perubatan.
Untuk rekod ketika ini ada moratorium untuk jumlah sekolah perubatan, jumlah kursus yang ditawarkan serta bilangan pelajar yang boleh mereka ambil.
Subramaniam yang juga doktor pakar rawatan kulit berkata, dia sudah berusaha mencari penyelesaian yang lebih mendalam sebelum ini.
Untuk jangka panjang, Subramaniam mengulangi keperluan supaya syarat minimum kemasukan ke sekolah perubatan mesti dinaikkan.
Kerajaan juga katanya harus menetapkan jumlah lulusan yang diperlukan oleh sistem perubatan dan menampung mereka untuk latihan.
“Kita boleh mengkaji semula jumlah tempat yang diberikan kepada universiti untuk pelajar sarjana. Kita dapat menyelaraskan jumlah tempat sesuai dengan jumlah yang kita ada untuk latihan.
"Jika kita melakukannya, saya rasa kita boleh menyelesaikan masalah bekalan,” katanya.
Setelah penawaran disesuaikan dengan permintaan pasaran, katanya, negara tidak lagi memerlukan sistem pegawai kontrak.
“Sistem pegawai kontrak dimaksudkan untuk menyelesaikan masalah tawaran-permintaan.
"Sebaik sahaja anda mempunyai permintaan yang lebih tinggi atau setara dengan penawaran, secara automatik sistem doktor kontrak akan berakhir," kata Subramaniam.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai