Tenaganita: Kami tak terbabit bantu FGV tangani larangan sawit AS
NGO Hak Migran Tenaganita menjelaskan urusannya bersama FGV Holdings Berhad tiada kaitan untuk membantu syarikat perladangan itu menangani masalahnya dengan Pihak Berkuasa Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS).
Tenaganita juga berkata hubungannya dengan syarikat berkaitan kerajaan itu tidak membuktikan pihaknya "menyokong" amalan buruhnya.
CBP AS telah melarang semua produk minyak sawit dan minyak sawit FGV diimport ke Amerika Syarikat sejak 30 September 2020.
Ini dimaklumkan melalui Perintah Tahan Pelepasan (WRO) yang dikeluarkan
Semalam, Ketua Bahagian Kemampanan Kumpulan FGV, Nurul Hasanah Ahamed Hassain Malim dilaporkan berkata GLC itu sedang menangani WRO itu bersama NGO seperti Tenaganita.
"Kami bekerja bersama dengan beberapa badan bukan kerajaan lain, juga di bawah inisiatif payung (bersama Fair Labor Association), termasuk dengan kumpulan hak migran, Tenaganita, untuk meningkatkan kesedaran pekerja asing kami mengenai hak-hak mereka.
“Kami juga sedang berusaha menambah baik mekanisme bagi memastikan pekerja mempunyai ruang langsung bagi membuat aduan dan melaporkan isu menerusi teknologi kepada pihak pengurusan. Kami juga mempertingkatkan proses pengambilan pekerja,” katanya, lapor Bernama.
Pun begitu, Pengarah Eksekutif Tenaganita Glorene Das (gambar, bawah) memperbetulkan kenyataan Nurul Hasanah.
"Kami ingin menyatakan secara tegas bahawa keterlibatan Tenaganita dengan FGV untuk meningkatkan kesedaran hak asasi manusia di kalangan pekerja migran bebas daripada masalah FGV dengan CBP AS," katanya pada satu kenyataan hari ini.
Glorene menegaskan kerja Tenaganita dengan GLC tidak bermaksud ia menyokong amalan syarikat itu.
"Tenaganita menerima pelawaan FGV (sebelum WRO dikeluarkan) untuk bekerjasama dengan syarikat itu untuk melaksanakan program latihan hak asasi manusia kepada pekerja.
"Ia sebagahagian daripada usaha berterusan Tenaganita mengenai hak asasi manusia dan hak buruh di kalangan pekerja di Malaysia.
"Sudah jelas bagi FGV bahawa walaupun Tenaganita berniat baik sedia untuk bekerjasama dengan FGV dalam komitmennya untuk mematuhi standard buruh antarabangsa dan untuk melindungi hak asasi manusia, namun keterlibatan Tenaganita dengan FGV sama sekali tidak dapat ditafsirkan sebagai sokongan dasar dan amalan syarikat itu dalam hal ini," tegasnya.
"Walaupun kami berharap FGV berjaya dalam usahanya untuk menyelesaikan masalah dengan CBP AS, kami kesal bahawa penglibatan Tenaganita dengan FGV telah digunakan, tanpa merujuk kepada kami, secara langsung atau tidak langsung untuk memberikan keyakinan kepada usaha syarikat itu untuk meningkatkan rekod hak asasi manusianya,” tambah Glorene.
Tahun lalu, Kastam dan Kawalan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat mengharamkan import minyak sawit dari FGV Holdings (FGV) atas tuduhan bahawa syarikat itu menggunakan tenaga buruh paksa dalam proses pengeluaran.
CBP berkata, larangan itu hasil siasatan selama setahun yang mendedahkan wujudnya gejala buruh paksa.
Antara lain, ini termasuk penyalahgunaan ke atas mereka yang lemah, penipuan, keganasan fizikal dan seksual, intimidasi dan ancaman, penyimpanan dokumen pengenalan diri.
Siasatan itu juga menimbulkan kebimbangan bahawa tenaga buruh kanak-kanak juga mungkin digunakan dalam proses pengeluaran minyak sawit FGV.
Sebagai maklum balas, FGV menafikan mengamalkan buruh paksa dan dakwaan-dakwaan oleh CBP itu.
FGV berkata pekerja migrannya diambil bekerja melalui saluran undang-undang dan tidak ada pekerja kontrak.
FGV berkata syarikat itu meletakkan syarat kepada pembekal untuk mematuhi kod etika dan tidak bertolak ansur dengan pelanggaran hak asasi manusia atau kesalahan jenayah.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai