Pembangunan Taman Rimba Kiara: DBKL, tiga lain dibenarkan merayu
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan tiga lagi memperoleh kebenaran untuk meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan perintah pembangunan projek perumahan Taman Rimba Kiara.
Ini susulan keputusan sebulat suara panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed yang membenarkan rayuan DBKL, Memang Perkasa Sdn Bhd, Yayasan Wilayah Persekutuan dan Persatuan Penduduk Perumahan Awam Bukit Kiara.
Dalam penghakimannya, Azahar berkata persoalan undang-undang berkaitan ‘locus standi (kedudukan di sisi perundangan), kesan Pelan Struktur KL, tanggungjawab untuk memberikan penjelasan serta konflik kepentingan adalah isu penting yang perlu dibahas dan keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung perkara itu akan memanfaatkan orang awam.
Turut bersidang Puan Sri Zaleha Yusof dan Datuk Rhodzariah Bujang.
Pada 27 Jan lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Mary Lim Thiam Suan (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) telah membatalkan perintah pembangunan yang dikeluarkan oleh DBKL bagi tujuan pembangunan projek perumahan di Taman Rimba Kiara.
Mahkamah Rayuan telah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 November 2018 yang menolak semakan kehakiman oleh penduduk bagi membatalkan kebenaran perancangan bersyarat dan perintah pembangunan dikeluarkan DBKL.
Penduduk memfailkan semakan kehakiman itu pada 11 Ogos 2017 melalui badan pengurusan Trellises Apartment, Kiara Green Townhouse, Residence Condominium, TTDI Plaza Condominium, The Greens Condominium, selain Persatuan Penduduk TTDI serta empat penduduk dan pemilik rumah di TTDI.
Mereka menamakan DBKL, Yayasan Wilayah, MPSB dan Persatuan Penduduk Perumahan Awam Bukit Kiara sebagai responden dalam semakan kehakiman itu.
Penduduk memohon perintah certiorari bagi membatalkan keputusan DBKL berhubung cadangan pembangunan bercampur termasuk sebuah pangsapuri 29 tingkat membabitkan 350 unit mampu milik dan lapan blok pangsapuri perkhidmatan dengan lapan tingkat ruang parkir.
Mereka mendakwa tanah seluas 10.08 hektar di Taman Rimba Kiara adalah taman awam yang terletak antara TTDI dan Bukit Kiara serta kawasan hijau bagi Kuala Lumpur.
Pada prosiding hari ini, yang berlangsung secara maya, Mahkamah Persekutuan mendengar hujah peguam B. Thangaraj bagi pihak DBKL, Datuk Seri Gopal Sri Ram (Memang Perkasa), Tan Sri Cecil Abraham (Yayasan Wilayah Persekutuan), Datuk Harpal Singh Grewal (Persatuan Penduduk Perumahan Awam Bukit Kiara) dan Datuk Dr Gurdial Singh Nijar yang mewakili penduduk terbabit.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai