Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menteri tak pakai pelitup muka dalam sesi suai kenal

Zuraida Kamaruddin hari ini memulakan tugas secara rasmi sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi di Putrajaya.

Bagaimanapun berdasarkan gambar yang dikongsi di media sosial kementerian tengah hari ini, dia dilihat tidak memakai pelitup muka dalam sesi itu.

Namun, dalam keadaan lain, dia dilihat memakai pelitup muka.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas Zuraida berkaitan tindakannya hari ini.

Sementara itu, Facebook kementerian menjelaskan, Zuraida tiba di kementerian pada 8.27 pagi, disambut pentadbiran tertinggi kementerian.

Mereka terdiri daripada Ketua Setiausaha Ravi Muthayah, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik dan Pengurusan) Abdul Hadi Omar dan Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) Mad Zaidi Mohd Karli.

Setiausaha-setiausaha bahagian turut hadir.

Turut melapor diri ialah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dr Wee Jeck Seng.

“Suatu taklimat ringkas dan majlis sesi suai kenal bersama ketua-ketua pengarah agensi dan ketua-ketua pegawai eksekutif majlis turut diadakan secara dalam talian,” menurut kementerian.

Sementara itu, Zuraida juga memulakan tugas pertamanya dengan menghadiri mesyuarat kabinet secara atas talian.

Dia dilantik ke jawatan tersebut oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. Sebelum ini di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan, dia adalah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Zuraida bersama 29 menteri dan 37 timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Isnin lalu.