Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PULASAN l Memarahi pengkhianatan Ukraine di pintu belakang padang

PULASAN l Emosi - sebagai satu komoditi - adalah barang yang selalu laku keras dan pada masa sama mudah untuk dijaja.

Kerana itu kita melihat ramai orang boleh menangis teresak-esak hanya kerana salah seorang peserta program realiti hiburan disingkirkan pada minggu tertentu.

Sambil-sambil menayangkan kepiluan itu, stesen TV juga memaparkan beberapa jenama komersial untuk ditanamkan ke kepala jutaan orang penonton.

Ia berlangsung secara sistematik dan penuh rela. Tidak ramai yang membantah apabila mereka dijadikan mangsa oleh syarikat-syarikat komersial.

Lalu kita pun dihanyutkan oleh emosi.

Ia bukanlah khabar terburuk untuk rakyat di negara tercinta ini. Khabar paling buruk ialah, kita terus hanyut waima selepas program realiti itu menamatkan siarannya. Bertahun-tahun, kita membiarkan diri sendiri terawang-awang dan akal yang diberikan tuhan itu digunakan untuk hal-hal yang salah.

Mensakralkan pembohongan, misalnya.

Kita menyangka sambutan hari kebangsaan ke-64 kali ini dimaknakan dengan satu lagi pingat emas dari Tokyo. Ketika Olimpik 2020 gagal memberikan banyak kegembiraan, kejohanan paralimpik kali ini dijangka membawa khabar yang lebih baik.

Untuk seketika Muhammad Ziyad Zolkefli memberikan sebab kepada Malaysia untuk rasa bangga. Selepas sekian banyak cerita politik yang melelahkan, Ziyad hadir dengan cerita pingat emas.

Namun tidak lama kemudian kita pun kembali ke asal. Kita terperosok dalam kekecewaan dan gundah-gulana.

Betul, Ziyad tetap wira negara. Pingat emas Ziyad - dan kita - dirampas oleh Ukraine secara tidak bermaruah. Atau letakkan apa pun labelnya mengikut emosi kita yang sedang meluap-luap marahnya ini.

Namun peraturan tetaplah peraturan.

Bayangkan bagaimana kejohanan sebenar itu berlangsung jika tiada peraturan dibuat, dilaksanakan dan dipatuhi. Bagaimana bercemperanya dunia kalau tiada undang-undang digubal, dikawal selia dan dikuatkuasakan.

Mungkin Ziyad tidak bersalah apabila lambat memasuki bilik menunggu, tetapi bagaimana dengan petugas atau pegawai yang mengiringi atlet negara. Adakah mereka tidak menyedari peraturan yang ditetapkan?

Ziyad bukan atlet Malaysia pertama yang dibatalkan pencapaiannya dalam kejohanan paralimpik kali ini. Sebelum Ziyad sudah ada perenang negara, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli, yang mengalami nasib sama.

Bukan sekali pencapaiannya dibatalkan.

Persoalannya sekarang ialah, mengapa ia boleh berlaku sedemikian rupa? Terlalu kaburkah peraturan yang ditetapkan jawatankuasa penganjur sehingga ia gagal difahami pegawai dan atlet?

Adakah yang keliru dan 'terpedaya' itu juga dialami kontinjen lain atau kita saja?

Tidak ada salahnya kita terus menganggap Ziyad - dan sudah tentu Nur Syaiful juga - adalah wira negara. Mereka sudah melakukan tugas sebaik mungkin. Namun kita jangan tenggelam oleh emosi.

Dan yang lebih penting, sudah tentu kita tidak mahu mengajar anak-anak kita bahawa adalah OK untuk melanggar peraturan kerana akhirnya mereka akan tetap menjadi wira.

Jika dibiarkan berlanjutan, ia akan menghantar isyarat salah yang fatal. Kita seolah-olah mahu menanamkan normalisasi kepada kecuaian dan keingkaran.

Kita juga tidak boleh terlalu apologetik dengan kegagalan yang pada asalnya boleh dielakkan.

Pada masa sama, kita juga harus mengakui pingat emas Ziyad dirampas Ukraine yang menebuk atap rumah kontinjen Malaysia. Marah? Sudah tentu sewajarnya kita marah, tetapi kita akan jadi 'munafik' yang tidak dapat dimaafkan kalau kemarahan itu berpilih-pilih.

Meratapi nasib adalah biasa. Tetapi meratapi kegagalan kerana kecuaian itu satu petaka. Bersikap talam dua muka untuk pengkhianatan pula petaka ganda 55.

Sudah lebih 60 tahun merdeka, sumpahan mudah dihanyut oleh emosi membuta tuli ini harus segera ditamatkan dengan akal yang waras.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal berita ini.