Tambah baik PPV mega, vaksinasi 'walk-in' - bekas menteri kesihatan
Pertama kali dibuka di Lembah Klang, pusat pemberian vaksin PPV) mega kini turut ditubuhkan di beberapa kawasan lain.
Langkah itu diambil untuk mempercepatkan vaksinasi yang ketika itu rendah, ketika kes melonjak.
Semalam, Sabah mencatatkan jumlah jangkitan harian kedua tertinggi selepas Lembah Klang dengan 2,594 kes. Ia juga memiliki kadar vaksinasi paling rendah, hanya 40 peratus orang dewasa yang divaksinasi sehingga 31 Ogos.
Walaupun PPV mega dapat memberikan 2,000 atau lebih dos suntikan setiap hari, ia juga menyebabkan pengumpulan orang ramai dalam satu-satu masa serta berpotensi meyebarkan jangkitan Covid-19.
Sekurang-kurangnya dua PPV mega telah menyaksikan penyebaran wabak Covid-19.
Dalam wawancara baru-baru ini bersama Malaysiakini, bekas menteri kesihatan Dr S Subramaniam membangkitkan berkaitan pembukaan lebih banyak PPV kecil.
Mengenai PPV mega, dia menegaskan bahawa kawalan orang ramai tidak boleh diabaikan dalam usaha meningkatkan vaksinasi.
"Kerajaan harus melihat semula perkara ini. Mungkin menentukan kepadatan mengikut ruang.
"Dan hadkan jumlah orang untuk jangka waktu tertentu," katanya.
Kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini telah menerbitkan panduan pengudaraan terperinci untuk pelbagai persekitaran dalaman, termasuk kemudahan penjagaan kesihatan.
MySejahtera uruskan 'walk-in'
Subramaniam, yang berkhidmat sebagai menteri dari 2013 hingga 2018 bawah pentadbiran BN, juga mencadangkan penggunaan MySejahtera untuk menguruskan vaksinasi tanpa janji temu (walk-in) dengan lebih baik.
"Daripada walk-in secara bebas, apa yang boleh diumumkan kerajaan adalah mereka yang ingin datang untuk melakukan vaksinasi walk-in dapat mendaftar melalui MySejahtera.
"Mereka dapat mendaftar dan dalam satu hingga dua hari, harus ada sistem yang memperuntukan pemohon ini ke PPV yang paling dekat dengan alamatnya berdasarkan segmen waktu yang berlainan," katanya.
Dengan cara ini, PPV dapat menjangkakan jumlah orang yang akan hadir untuk walk-in setiap hari.
Dia membayangkan bahawa proses yang dikendalikan seperti ini akan membantu mengurangkan kesesakan.
“MySejahtera sudah menjadi alat yang tersedia untuk rakyat Malaysia dan orang asing.
"Dengan menggunakannya dengan cara bijak, saya yakin kita akan dapat memungkinkan orang mendapatkan vaksin lebih cepat (dan) dengan cara yang lebih lancar tanpa mempertaruhkan peningkatan pendedahan kepada kes positif," tambahnya.
Kerajaan mula membenarkan vaksinasi tanpa janji temu pada Julai. Awalnya terbuka untuk warga emas di Lembah Klang sahaja, kemudian diperluas ke lebih banyak kumpulan dan lebih banyak negeri.
Tujuannya adalah untuk meningkatkan kadar vaksinasi dengan mendorong mereka yang belum diberi janji temu atau menghadapi masalah pendaftaran.
Tidak lama kemudian, beberapa PPV mula menyaksikan barisan panjang untuk vaksinasi.
Pekerja asing yang kebanyakannya tidak mempunyai dokumen dilihat berbaris di luar PPV mega di Stadium Bukit Jalil pada awal pagi bahkan sebelum ia dibuka.
Minggu lalu, kerajaan mengubah polisi supaya langkah ini dikhaskan kepada warganegara Malaysia sahaja.
Apa yang berlaku menyebabkan negeri-negeri seperti Kelantan mempertimbangkan semula sama ada akan membenarkan walk-in, walaupun mempunyai kadar vaksinasi yang rendah dan jumlah jangkitan yang tinggi.
Bawah kerajaan baru, kedua-dua vaksinasi Covid-19 dan pengurusan Covid-19 diletakkan bawah tanggungjawab Kementerian Kesihatan.
Menteri Kesihatan yang baru dilantik Khairy Jamaluddin sebelum ini menerajui Program Imunisasi Covid-19 Nasional semasa pentadbiran perdana menteri Muhyiddin Yassin.
Perlu tegas mengenai Ivermectin
Sementara itu, Subramaniam berkata dia bimbang dengan pertentangan hebat hujah yang mahu dan menolak Ivermectin untuk rawatan dan pencegahan Covid-19.
Dia sebaliknya mendesak kementerian membuat pendirian tegas mengenai perkara itu setelah ujian selesai pada bulan September.
"Mungkin setelah ujian, kementerian dapat memberikan jawapan pasti dengan memberitahu bahawa berdasarkan percubaan ini, sama ada (ubat) ini bermanfaat atau tidak (dan) adakah kesan sampingannya melebihi manfaatnya, atau sebaliknya [...]
"Sekurang-kurangnya akan ada penjelasan yang lebih besar dari kementerian mengenai hal ini," katanya.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini berkata 500 pesakit daripada 12 hospital awam akan dimasukkan ke dalam percubaan klinikal secara rawak yang melibatkan ubat tersebut.
Ivermectin adalah ubat antiparasit yang kebanyakannya digunakan dalam perubatan veterinar untuk merawat jangkitan cacing.
Badan pengawalseliaan termasuk FDA Amerika Syarikat dan EMA Eropah menyimpulkan tiada bukti mencukupi untuk menyokong penggunaan Ivermectin sebagai rawatan Covid-19.
Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) juga mengeluarkan panduan menentang penggunaan Ivermectin kecuali untuk percubaan klinikal.
Di Malaysia, ubat tersebut tidak diluluskan untuk rawatan atau pencegahan Covid-19.
Subramaniam, yang merupakan ahli dermatologi, menyarankan pengguna tidak menggunakan ubat itu secara sendiri tanpa preskripsi doktor.
Lebih buruk lagi jika orang membeli Ivermectin melalui sumber tidak sah.
Subramaniam seterusnya menasihatkan agar tidak mempercayai bahawa pengambilan Ivermectin mampu menggantikan vaksin Covid-19.
"Sekiranya anda mengatakan bahawa anda ingin menggantikannya dengan vaksin, adakah anda akan mengambil Ivermectin seumur hidup anda selagi Covid-19 ada bersama anda?
“Tentu itu bukan jawapannya, ”tegasnya.
"Vaksin adalah untuk pengurangan jangka panjang dalam morbiditi dan kematian," tambahnya, sambil menambah bahawa sains akhirnya akan menentukan sama ada suntikan 'booster' (ketiga) diperlukan.
Kementerian sebelum ini mencatatkan dua kes keracunan yang melibatkan Ivermectin.
Seorang lelaki berusia 35 tahun mengambil satu sesak nafas lima hari kemudian sementara seorang warga emas ditemui tidak sedarkan diri setelah mengambil 15 tablet sekali gus.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai