Kadar pendaftaran pengundi baru tahun ini membimbangkan
Proses pendaftaran pengundi baru setakat suku pertama tahun ini menunjukkan kadar yang rendah malah ada yang menunjukkan penurunan di beberapa kawasan, kata Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming.
Ong yang juga Penolong Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan berkata kemas kini daftar oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan terdapat 85,358 pengundi baru pada suku keempat pada tahun lalu namun menurun menjadi 52,382 dan 44,321 pada dua suku pertama tahun ini.
"Ini bermaksud hanya ada 182,061 pengundi baru mendaftar dari suku keempat 2020 hingga suku kedua tahun ini.
"Sebagai perbandingan, dianggarkan hampir 500,000 warganegara berusia 21 tahun setiap tahun dan layak mendaftar sebagai pengundi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ong berkata, Perlis dan Labuan menyaksikan penurunan dari segi jumlah pengundi baru pada ketiga-tiga suku, sementara Kedah, Perak, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pulau Pinang menyaksikan penurunan pengundi di beberapa kawasan.
"Kadar pendaftaran pengundi baru yang rendah ini mungkin menjadi isyarat bahawa generasi muda yang layak mengundi di Malaysia semakin terputus dengan sistem politik daripada sebelumnya.
"Misalnya, mereka mungkin khuatir untuk keluar pergi ke pejabat pos untuk mendaftar untuk sebagai pengundi," katanya.
Menurut Ong, ramai yang layak mendaftar sebagai pengundi tetapi tidak menyedari bahawa pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian kerana kemudahan itu tidak diuar-uarkan secukupnya.
Parti politik dan kumpulan kepentingan lain pula, katanya, tidak dapat melakukan pendaftaran berkenaan.
Dia juga mendesak kerajaan untuk mewajibkan pelajar pendidikan tinggi mendaftar sebagai pengundi sebagai sebahagian dari proses kemasukan mereka serta mengizinkan kumpulan yang berkenaan melaksanakan proses pendaftaran pengundi.
"Kita semua, sebagai warganegara, boleh mendorong rakan dan saudara kita yang baru berusia 21 tahun untuk mendaftar segera sebagai pengundi melalui laman web MyDaftarSPR.
"Hanya dengan penglibatan pengundi yang lebih meluas - termasuk dari generasi muda - orang ramai dapat terus memberi tekanan kepada parti politik memilih calon yang bertanggungjawab dan berkelayakan di peringkat negeri dan persekutuan," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai