Shahril minta pusat ambil alih hutan simpan Kuala Langat
Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan berkata kerajaan pusat patut mengambil alih Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) daripada kerajaan negeri Selangor supaya kawasan itu dapat dipelihara.
Katanya, ia dapat dilakukan di bawah Perkara 83 Perlembagaan Persekutuan, meskipun itu bermaksud kerajaan pusat harus membayar pampasan kepada kerajaan negeri.
“Ini akan menjadi satu ikhtiar terakhir dan agresif. Para peguam boleh memberikan nasihat mereka dari semua segi.
"Tetapi jika menteri besar dan ahli exco tidak mahu dengar kepada Adun mereka sendiri dalam badan perundangan dan para pengundi dalam pendengaran awam; maka sebagai perkara berkepentingan nasional, (tindakan) pelik yang setara patut dipertimbangkan untuk menyelamatkan (hutan itu).
“Ya, kerajaan pusat perlu membayar pampasan kepada negeri, tetapi ia akan menjadi satu kenyataan azam (statement of intent) yang besar. Anggaplah ia sebagai pelaburan terhadap warisan dan masa depan, sekalipun terpaksa.
“Jika negeri terima (menyerahkan hutan) kerana mahukan duit, maka ambillah, jangan kacau hutan,” katanya di Twitter hari ini, selepas melawat kawasan berkenaan bersama Orang Asli dari Busut Baru.
Kerajaan Selangor telah menyahwarta 54 peratus (536.7 hektar) daripada kawasan HSKLU pada Mei, tetapi ia hanya didedahkan dalam persidangan sidang DUN Selangor semalam.
Exco Pelancongan Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Hal Ehwal Orang Asli Selangor Hee Loy Sian (PH-Kajang) memberitahu sidang DUN bahawa kerajaan negeri memutuskan untuk tidak membenarkan penggunaan keseluruhan kawasan sebagaimana rancangan asal selepas mendapat bantahan komuniti.
Katanya, kerajaan negeri akan menggantikan hutan simpan itu dengan mewartakan tanah di daerah Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Hulu Langat sebagai kawasan gantian hutan simpan kekal.
Bagaimanapun, penjelasan itu tidak dapat memuaskan hati Adun Selangor daripada PH, yang menggesa kerajaan negeri menarik balik keputusan penyahwartaan berkenaan.
NGO alam sekitar seperti gabungan Pertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (PHSKLU) dan MyHutan turut membantah penyahwartaaan berkenaan, dengan membangkitkan kurangnya ketelusan dan kebolehtanggungjawaban dalam hal itu.
Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata dia telah meminta Menteri Besar Selangor Amirudin Shari untuk memberikan penjelasan terperinci berhubung penyahwartaan HSKLU dalam satu mesyuarat esok.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai