PKR panggil MB Selangor jelas penyahwartaaan hutan simpan
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dipanggil kepemimpinan parti PKR untuk memberikan penjelasan terperinci berhubung penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) pada bulan Mei yang lalu.
Menurut Presiden PKR Anwar Ibrahim, kepemimpinan PKR sejak tahun lepas telah meminta untuk penyahwartawaan itu dibatalkan.
“Ingin ditegaskan keputusan yang dibuat ini masih belum dimaklumkan kepada pimpinan parti.
“Malah pimpinan PKR sejak tahun lalu telah memaklumkan kepada Menteri Besar untuk membatalkan perkara tersebut.
“Menteri Besar telah diminta untuk memberi penjelasan terperinci berhubung perkara ini dalam pertemuan bersama pimpinan parti esok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Anwar, dia mengambil maklum bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor telah menolak cadangan penyahwartawaan tersebut.
Penyahwartaan HSKLU yang dibuat Mei, hanya didedahkan ketika sesi soal jawab sidang DUN Selangor semalam.
Penyahwartaan itu dibuat setelah keputusan dicapai pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke-17/2021 pada 5 Mei lepas yang disahkan oleh MMKN ke-18 pada 19 Mei, membabitkan 536.70 hektar kawasan di bawah Seksyen 12, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985.
Pada bulan Mac tahun lalu, Amirudin Shari memaklumkan dua syarikat telah mencadangkan untuk membangunkan kawasan Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Utara, iaitu Titian Jutaria Sdn Bhd dan Menteri Besar Incorporated Selangor (MBI Selangor).
Pendengaran awam mengenai rancangan penghapusan pewartaan itu diadakan pada bulan September tahun lalu, yang mana ramai pihak membantah tindakan tersebut.
Hutan di Kuala Langat Utara merupakan hutan paya gambut yang jarang-jarang ditemui, berhampiran Cyberjaya dan habitat semulajadi untuk haiwan yang diancam kepupusan.
Untuk rekod, pada November tahun lalu, DUN Selangor sebulat suara meluluskan usul yang menggesa kerajaan negeri membatalkan membatalkan rancangan penyahwartaan HSKLU, supaya kawasan hutan simpan dan tadahan air itu dapat dikekalkan dan dipelihara.
Namun, ketika menjawab soalan Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong semalam, Hee berkata usul yang disokong sebulat suara itu tidak bersifat mengikat, dan MMKN boleh membuat keputusan demikian - yang katanya, dipersetujui sebulat suara oleh MMKN.
Ekoran pendedahan itu semalam, beberapa Adun Selangor hari ini menggesa kerajaan negeri menarik baik penyahwartaan berkenaan.
Untuk rekod, semalam, Hee memberitahu bahawa syarikat Gabungan Indah Sdn Bhd akan membangunkan kawasan seluas 494.7 hektar di hutan yang telah dinyahwartakan status perlindungan alam sekitarnya itu.
Gabungan Indah dimiliki sepenuhnya oleh Venturescape Sdn Bhd yang dimiliki sepenuhnya oleh Perdana Parkcity - pemaju Desa Parkcity di Kuala Lumpur.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai