Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis Kelantan tak lulus permohonan konvoi kenderaan sepanjang PPN

Polis Kelantan tidak meluluskan sebarang permohonan konvoi yang dibuat oleh mana-mana individu atau kumpulan sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketua Polis Kelantan, CP Shafien Mamat berkata, permohonan demikian dilarang kerana aktiviti tersebut dikhuatiri akan menyebabkan berlakunya pelanggaran prosedur operasi standard (Sop) yang telah ditetapkan.

"Justeru itu, saya menasihatkan orang ramai khasnya warga negeri ini untuk tidak melakukan sebarang aktiviti konvoi kenderaan mahupun melakukan sebarang perjumpaan di lokasi tumpuan sewaktu negara masih berdepan wabak Covid-19.

"Patuhilah arahan semasa pihak kerajaan bagi membendung dan memutuskan rantaian Covid-19," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya lagi, pihak polis akan terus melakukan pemantaun terhadap pematuhan Sop yang sedang berkuatkuasa dan tindakan kompaun akan dikenakan kepada sesiapa yang gagal mematuhinya.